CIK Bunga ada tertengok satu cuplikan sesi temu bual pihak media dengan penyanyi senior, Datuk Zainal Abidin baru-baru ini.
Tak sangka juga temu bual itu menjadi tular di media sosial. Tetapi bukan pada cara yang positif.
Sebabnya, Zainal menerusi perkongsiannya dalam temu bual tersebut, didakwa macam orang sedang berhalusinasi, delusional atau berkhayal.
Itu semua gara-gara Zainal membuat dakwaan bahawa lagu Puteri nyanyiannya yang popular sekitar tahun 1996 pernah ditempah oleh penyanyi antarabangsa, Celine Dion, dengan judul dalam bahasa Inggeris adalah Hearts Don’t Lie.
Bagaimanapun, menurut Zainal, Celine tidak membuat bayaran untuk lagu tersebut yang kemudiannya dibayar oleh pihaknya bersama Warner Music Malaysia sebelum dirakamkannya.
Zainal turut beritahu, disebabkan hal itu, dia ada bertengkar kecil dengan Celine yang telah menghubunginya dari Kanada namun setelah memberi penjelasan dan tegakkan hak, akhirnya mereka berdua menjalin hubungan baik sehingga sekali sekala adalah bertanyakan khabar sehingga kini.
Ceritanya pengakhirannya nampak indah dan murni sahaja bukan? Tetapi yang jadi tak indahnya bila Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) dengar mengenai hal itu, dituduhnya Zainal berkhayal dan berangan saja.
Dikutuknya beramai-ramai di media sosial. Tak baik cakap begitu. Bagi Cik Bunga dan sekalian pengikut industri seni hiburan tanah air yang menyokong, kami semua tahu, Zainal tak menipu.
Dia adalah antara aset negara dalam dunia seni muzik dan kehebatannya dalam gelanggang tersendiri tidak dinafikan.
Minta tolonglah, sebelum cakap dan tulis sesuatu kritikan dan kecaman itu harap periksa dululah latar belakang Zainal. Dia bukan kaleng-kaleng.
Budak-budak baharu saja yang tak tahu sampai tergamak tuduh penyanyi sepertinya halusinasi. Agak-agaklah, simpan sikit tidak cerdik awak itu dalam almari. Malu orang baca dan tengok.










