SLDN kerjasama 1,504 industri lahir pekerja kemahiran tinggi

SLDN kerjasama 1,504 industri lahir pekerja kemahiran tinggi

MUSTAPHA Sakmud (kanan) menyampaikan sijil SLDN kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen SLDN kali ke-9 di UKM Bandar Baru Bangi, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Lebih 270 Pusat Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan kerjasama 1,504 industri akan terus diperkasa bagi mengukuhkan modal insan berkemahiran tinggi di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, SLDN adalah satu usaha berterusan bagi memastikan golongan pekerja di negara ini memperoleh sekurang-kurangnya pendidikan tahap sijil.

Beliau berkata, ketika ini, sebanyak 273 pusat SLDN berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang menyediakan lebih 2,000 program kemahiran pada tahap sijil dan diploma.

“SLDN dilihat mampu melahirkan tenaga mahir berkualiti dan berkemahiran tinggi sekali gus menepati keperluan pasaran kerja.

“Kerajaan melihat usaha (SLDN) ini mampu melahirkan pekerja berkemahiran, justeru peruntukan untuk tahun depan ditingkatkan kepada RM70 juta berbanding RM50 juta tahun ini.

“Kerajaan berhasrat usaha ini dapat membantu negara mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen SLDN kali ke-9 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Katanya, program kemahiran yang ditawarkan SLDN juga disahkan oleh Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) iaitu badan akreditasi khusus bagi penanda aras pekerja mahir.

Terdahulu, seramai 800 graduan SLDN memperoleh sijil dan diploma kemahiran masing-masing pada istiadat konvokesyen dianjurkan Persatuan Pusat Bertauliah SLDN Malaysia dengan kerjasama JPK, Jabatan SLDN Malaysia dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Putrajaya.

SLDN yang mengambil model dari Jerman di bawah JPK adalah konsep latihan industri membabitkan 70 peratus latihan praktikal selain 30 peratus lagi teori dan pembelajaran dalam kelas.

SLDN merupakan satu kaedah latihan berlandaskan kehendak industri dikendalikan melalui usahasama syarikat-syarikat dan institusi latihan menerusi kaedah Usahasama Pusat Latihan Kemahiran (PLK) dan Syarikat Latihan Dalaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya