PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu berasa terlalu selesa dengan prestasi barisan Menteri Kabinet di bawah Kerajaan Perpaduan walaupun secara keseluruhannya berpuas hati dengan pencapaian kerajaan.
Beliau berkata, segala hasil kemajuan dalam pebagai bidang yang dikecapi negara ketika ini adalah hasil usaha berpasukan di dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada masa sama, beliau mahu prestasi Kerajaan Perpaduan dilihat daripada pelbagai sudut berdasarkan keupayaan dan kapasiti pembangunan Malaysia.
“Ini adalah kerja berpasukan dan kita lakukan sebaik mungkin iaitu perubahan sedaya upaya kita.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa ruang yang boleh ditambah baik antaranya isu tata kelola, urus tadbir yang bersih yang tidak boleh diremehkan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui sebuah syarikat televisyen swasta, hari ini.
Beliau berkata, penambahbaikan tersebut akan membolehkan pelaksanaan pelbagai kerangka dan dasar yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat secara jelas.
“Ini kalau dapat dibersihkan, maka kita boleh laksanakan beberapa kerangka dasar seperti ekonomi Madani, peralihan tenaga baharu dan hijau, transformasi digital dan misi perindustrian yang jelas,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan itu adalah terletak kepada tahap keselesaan rakyat yang jelas masih belum dirasai ketika ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, rombakan kabinet perlu dilakukan sekiranya prestasi seseorang menteri itu meleset atau berdasarkan keadaan-keadaan tertentu yang menuntutnya untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang dibentuk secara koalisi, rundingan harus dilaksanakan terlebih dahulu dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya agihan jawatan yang diputuskan setimpal dengan sumbangan parti tersebut.
“Seperti yang saya diberitahu sebelum ini oleh seorang anak kecil yang memberi nasihat di depan masjid, Akmal namanya tidak silap saya, dia kata (rombakan kabinet) sebelum akhir tahun, jadi saya setuju.
“Tetapi saya tidak fikir setelah satu tahun, kita buat penilaian yang adil. Ada orang perintah 10 tahun, tiga tahun… jadi satu tahun ini terlalu awal,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau berpandangan bahawa menteri-menteri harus diberi peluang untuk memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka termasuklah dirinya sendiri.
“Kemudian kalau ada sedikit penyesuaian berdasarkan pengalaman kita satu tahun, kita akan lakukan termasuk menambah (portfolio kementerian) sekiranya perlu,” katanya. -UTUSAN