KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuhkan jaringan keselamatan dalam talian perlu diperkasakan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai isu penderaan kanak-kanak dalam talian di negara ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Chow Kit baru-baru ini mengadakan program Townhall “Bekerjasama Untuk Meningkatkan Perlindungan Kanak-Kanak” di sebuah universiti HELP, di sini.
Pengasas Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin dalam ucapan alu-aluannya berkata, objektif utama program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai isu penderaan kanak-kanak dalam talian.
Katanya, program ini melibatkan usaha sama pempengaruh media sosial, pendidik, institusi pendidikan, dan syarikat komunikasi yang mampu mempengaruhi perubahan perilaku dalam dunia yang semakin terhubung secara digital.
“Inisiatif seperti ini penting dalam meningkatkan kesedaran, perubahan dasar dan mencipta persekitaran yang lebih selamat bagi kanak-kanak dalam talian dan luar talian.
“Acara ini menandakan langkah penting ke arah memperkukuh usaha melindungi kanak-kanak dari sebarang unsur yang membahayakan kehidupan mereka,” katanya.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan peningkatan kes-kes penderaan kanak-kanak dari 5,858 pada tahun 2020 kepada 6,144 pada tahun 2021 dan 6,770 pada
tahun 2022.
Antara Januari dan Mei 2023, JKM menangani 2,959 kes dan pada tahun 2019, JKM telah melaporkan 6,382 kanak-kanak memerlukan penjagaan dan perlindungan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya akan memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, komuniti dan keluarga dalam menangani masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Menurut Nancy, perkhidmatan perlindungan kanak-kanak sentiasa menjadi fokus utama kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan hak asasi kanak-kanak di negara ini.
Katanya, pendekatan dan tindakan perlu diambil bagi menangani masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak mesti seiring dengan keperluan semasa.
“KPWKM sentiasa terbuka untuk cadangan idea-idea baharu yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa kerana perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab semua lapisan masyarakat.
“Saya menggesa semua pihak untuk bekerjasama dan memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di negara kita,” katanya.
Majlis yang dihadiri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail turut menyaksikan Nancy menerima memorandum yang ditandatangani 45 NGO termasuk Yayasan Chow Kit bagi menuntut peningkatan perlindungan kanak-kanak di alam siber. –UTUSAN










