Tren khas KTMB ke Pantai Timur sempena Aidiladha

Tren khas KTMB ke Pantai Timur sempena Aidiladha

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur bagi menampung peningkatan permintaan penumpang sempena musim perayaan itu hujung bulan depan.

Inisiatif itu melibatkan dua perkhidmatan khas dengan jualan tiket bermula hari ini, sekali gus menawarkan alternatif perjalanan lebih selesa kepada orang ramai untuk pulang ke kampung halaman.

KTMB menerusi kenyataan berkata, sebanyak 456 tiket ditawarkan bagi setiap perjalanan tren khas berkenaan, menjadikan keseluruhan 912 tiket sepanjang tempoh operasi.

Katanya, tambang sehala ditawarkan bermula RM80 hingga RM95 dengan pilihan koc tempat duduk kelas premier dan superior, selain koc tempat tidur kelas superior serta kemudahan koc chillax dan koc kafe.

“Perkhidmatan tren khas ini bukan sahaja memudahkan rakyat pulang ke kampung halaman dengan lebih selesa dan selamat, malah turut memberi peluang kepada pelancong untuk mengunjungi destinasi menarik di Pantai Timur,” katanya.

Tren khas itu akan melalui 16 stesen utama termasuk Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Tambahnya, penyediaan tren khas tersebut turut menyokong usaha kerajaan memperluas penggunaan pengangkutan rel selain membantu mengurangkan kesesakan di laluan Pantai Timur yang sering meningkat setiap kali musim perayaan.

Berdasarkan jadual, tren dari KL Sentral ke Tumpat akan berlepas pada 24 Mei, pukul 10 malam dan dijangka tiba pukul 4.54 petang keesokannya.

Perjalanan dari Tumpat ke KL Sentral pula dijadualkan pada 29 Mei, berlepas pukul 8.30 malam dan tiba pukul 2.55 petang hari berikutnya.

Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan supaya hadir lebih awal di stesen bagi melancarkan urusan pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi sebelum menaiki tren.

Tiket boleh dibeli menerusi aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios KTMB, selain menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN