KDN nilai semula perintah larangan penerbitan

KDN nilai semula perintah larangan penerbitan

Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama penerbit buku sebelum sebarang tindakan diambil terhadap hasil penerbitan mereka.

Menurut KDN, langkah itu susulan sesi libat urus bersama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pada 21 April lalu yang membincangkan isu berkaitan industri penerbitan tempatan.

Katanya, KDN diwakili Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan dalam sesi berkenaan.

“Pendekatan ini merupakan usaha penambahbaikan bagi memastikan proses yang lebih telus dan konstruktif antara kerajaan dan pemain industri,” katanya dalam kenyataan.

Dalam masa sama, KDN turut akan meneliti serta menilai semula Perintah Larangan terhadap hasil penerbitan yang telah diwartakan dengan mengambil kira pandangan serta cadangan pihak berkepentingan.

Katanya, kementerian menghormati dan mengalu-alukan kebebasan berkarya serta wacana ilmiah, selain menghargai perkembangan kreativiti penulisan dalam negara.

Namun, katanya, setiap penerbitan perlu mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak diminta memberi ruang sewajarnya kepada kementerian untuk mengurus dan menangani perkara tersebut dengan sebaiknya.

“Langkah itu penting bagi memastikan keseimbangan antara kebebasan berkarya dan kepentingan keselamatan awam terus terpelihara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, tanggungjawab dan kesejahteraan bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN