Seksyen 498 dimansuh, tidak boleh dakwa lelaki goda isteri orang

Seksyen 498 dimansuh, tidak boleh dakwa lelaki goda isteri orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memansuhkan peruntukan itu.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak berperlembagaan kerana ia melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.

Seksyen 498 melanggar hak wanita bagi kesaksamaan di sisi undang-undang kerana ia hanya memberikan hak kepada suami untuk memulakan prosiding jenayah terhadap individu yang mengganggu rumah tangganya.

Panel berkenaan memutuskan demikian selepas membenarkan persoalan undang-undang yang dirujuk oleh seorang ahli perniagaan dalam usaha mendapat perisytiharan bahawa seksyen berkenaan tidak berperlembagaan.

Mahkamah bagaimanapun menjelaskan, keputusan itu berkuat kuasa untuk kes-kes akan datang bertujuan memelihara pendakwaan terdahulu.

Dengan keputusan itu, panel berkenan memerintahkan kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan hakim berkenaan membuat perisytiharan atau perintah berkaitan prosiding yang kini berjalan di Mahkamah Majistret.

Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan lelaki itu untuk merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

Panel berkenaan turut dianggotai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Lelaki berusia 53 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2020 atas pertuduhan menggoda isteri orang di sebuah pangsapuri di Selangor pada 2018 selepas suami wanita itu membuat laporan polis.

Dia didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Tengku Maimun berkata, Seksyen 498 adalah peruntukan undang-undang sebelum merdeka atau undang-undang sedia ada seperti takrifan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, Perkara 162(6) memberi kuasa kepada mahkamah atau tribunal mengubah suai atau meminda peruntukan undang-undang untuk diselarikan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, pada hemat panel itu, Seksyen 498 tidak boleh dipinda kerana tindakan itu akan mengubah karektor kesalahan dalam pertuduhan.

Dalam prosiding itu, peguam-peguam J. Jayarubbiny, Jay Moi Wei Jiun dan Puteri Batrisyia Abdul Latif mewakili ahli perniagaan tersebut manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dibantu oleh Eyu Ghim Siang mewakili pihak pendakwaan.

Pada sesi penghujahan 18 Julai lalu, Jayarubbiny memohon agar Seksyen 498 yang menjenayahkan perbuatan lelaki menggoda isteri orang adalah tidak berperlembagaan dan perlu dimansuhkan.

Hujah beliau, peruntukan itu bersifat diskriminasi terhadap wanita yang sudah berkahwin kerana mereka dianggap sebagai hak milik suami dan terdedah kepada penderaan oleh pasangan.

Katanya, pindaan terhadap Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan perkataan ‘jantina’ membuktikan bahawa Parlimen, sebagai penggubal undang-undang di Malaysia telah memberi isyarat bahawa wanita dan lelaki perlu dilihat sama rata serta mempunyai hak yang sama.

Sementara itu, Yusaini Amer pula berhujah Seksyen 498 tidak bersifat diskriminasi atau bercanggah dengan Perlembagaan.

Beliau berhujah, wanita berkahwin tidak boleh diklasifikasikan dalam kategori yang sama dengan lelaki terutama dalam aspek perlindungan daripada keganasan dan jenayah kerana ia mempunyai kriteria berbeza.

Katanya Seksyen 498 adalah satu perundangan dengan matlamat bagi melindungi hak suami dalam mengekalkan perkahwinan dengan si isteri apabila pihak ketiga telah menggoda atau merampasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya