Segarkan semula premis niaga Mara

Segarkan semula premis niaga Mara

Suasana di Arked Mara Kajang, Selangor yang sepi tanpa pengunjung semalam. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 20 peratus atau kira-kira 1,500 daripada 7,258 premis perniagaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di seluruh negara kini kosong dan dalam keadaan suram ekoran nilai komersialnya yang berubah akibat peredaran zaman.

Jumlah ini melibatkan tujuh peratus atau 508 lot kosong dan 10 hingga 15 peratus atau 726 lot hingga 1,089 lot yang berada dalam keadaan suram.

Situasi ini bukan sahaja mengakibatkan Mara menanggung kerugian RM3.6 juta sejak 2020 susulan lot kosong yang tidak disewa, malah kira-kira 400 usahawan bumiputera Mara berdepan risiko kerugian apabila premis-premis perniagaan mereka sudah hilang daya tarikan.

Premis perniagaan Mara wujud seawal 1960-an dan kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar sejajar dengan mandat di dalam Akta Mara yang memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan bumiputera di kawasan tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh Utusan Malaysia, pada masa ini Mara mempunyai sejumlah 7,258  premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 5,228 lot perniagaan di arked dan bazar, 1,576 lot komersial dan 454 lot perkilangan serta perindustrian.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 92 peratus (6,664 lot) telah diisi dan penyewa-penyewa terlibat mencapai nilai jualan melebihi RM1 bilion dan mewujudkan sebanyak  14,200 peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, antara 10 peratus hingga 15 peratus (726 lot hingga 1,089 lot) daripada jumlah premis perniagaan itu berada di dalam keadaan suram manakala tujuh peratus (508 lot) masih lagi kosong.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keadaan fizikal bangunan dan lokasi tidak lagi strategik kerana perubahan masa dilihat antara punca perniagaan di arked dan bazar Mara tidak lagi menjadi pilihan pengunjung.

“Tidak dinafikan bangunan-bangunan itu menjadi daya tarikan sekitar tahun 70-an, 80-an dan 90-an. Mungkin hebat dan gah waktu zaman tersebut namun nilai komersialnya kini sudah berubah.

“Malah banyak tempat yang lokasinya sudah tidak sesuai lantaran perubahan demografi dan lanskap komersial. Itu  antara sebab agenda transformasi penting untuk mewajahkan arked Mara yang memenuhi kehendak zaman dan punya nilai komersial yang tinggi,” tambahnya.

Menurut Asyraf Wajdi, sebelum ini, Mara memperuntukkan RM40 juta bagi menyelenggara premis perniagaan termasuk menampung kos utiliti, cukai dan kos cucian kawasan dan bangunan serta kawalan keselamatan.

“Peruntukan ini ditampung melalui kutipan sewaan daripada usahawan yang mana 100 peratus digunakan semula untuk pembangunan keusahawanan.  Kadar sewaan yang ditawarkan oleh Mara kepada usahawan adalah berdasarkan kepada keluasan lot perniagaan berkenaan dan bergantung kepada lokasi serta kadar penilaian yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). ” katanya.

Kata Asyraf Wajdi, bagi membantu para peniaga sewaktu negara dilanda Covid-19, Mara muncul sebagai antara agensi yang memberi pengecualian sewa sehingga enam bulan kepada penyewa dan tambahan 30 peratus diskaun sewa kepada semua usahawan yang menyewa di premis perniagaannya.

“Projek Transformasi Premis Luar Bandar (TRENT) juga telah dilaksanakan bagi  menggantikan premis-premis yang dahulunya dengan binaan kayu kepada struktur binaan yang lebih moden dan terkini.

“Insentif ini banyak membantu usahawan bertahan pada ketika ini dan seterusnya, bangkit semula,” katanya.

Menurut beliau, bagi menangani masalah lot kosong dan suram, sebuah jawatan kuasa bertindak ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menambah baik dan meningkatkan imej premis tersebut.

Katanyai,  hasil kajian dan perbincangan pasukan bertindak itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keusahawanan Mara pada Februari 2024.

“Sememangnya dalam perhatian Mara dan sedang mencari solusi terbaik untuk membantu penyewa-penyewa premis meningkatkan prestasi perniagaan. Semua rancangan itu akan mengambil masa dan pihak kami akan cuba sedaya mungkin melaksana penyelesaian awal yang boleh disegerakan demi membantu perniagaan penyewa premis.

“Ini termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan kepada penyewa yang tidak memberikan kerjasama kepada pihak Mara sama ada tidak membayar sewa atau tidak membuka premis perniagaan,” katanya.

Malah, Asyraf Wajdi berkata, Mara  akan mengenal pasti penyewa yang tidak menjalankan aktiviti perniagaan seperti yang ditetapkan, sebaliknya mengambil kesempatan bagi tujuan dijadikan stor penyimpanan barang-barang mereka.

“Saya sudah minta pengurusan Mara  bertindak tegas kerana ini juga menyumbang kepada suasana muram arked Mara dan mengambil hak orang lain yang lebih berkeperluan untuk berniaga di premis-premis berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN