PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mengakui tidak terkilan selepas pemecatannya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akibat kelantangannya mengkritik kepimpinan parti itu.
Bekas Ketua Penerangan UMNO itu berkata, perjuangannya cukup jelas menjaga kepentingan dan hak orang Melayu sedangkan perkara itu tidak ditonjolkan selama UMNO diterajui Ahmad Zahid.
Katanya, pertelingkahannya dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bermula selepas Isham sebelum ini menggesa Ahmad Zahid membuat referendum bersama UMNO ketika proses pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).
“Ya (saya tidak terkilan), sebab orang yang pecat saya itu adalah Presiden UMNO, Zahid Hamidi. Apabila orang tidak setuju, dia akan pecat. Kedua, saya tegur dia, saya kata UMNO di bawah dia, pergi landasan yang salah sebab akar umbi pun tidak setuju dengan hala tuju yang dibawa.
“Saya lihat ada banyak jurang antara apa yang Presiden mahu dan apa akar umbi mahu. Apabila jadi macam ini, itu yang akar umbi tidak keluar mengundi, di Kemaman kalah sebab 10,000 pengundi tidak keluar,” katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian dalam rancangan temubual podcast (audio siar) yang disiar secara eksklusif oleh MMTV yang dihoskan oleh Ketua Pengarang Berita Utusan Malaysia, Aznan Bakar dan Ketua Unit MMTV, Roshihan Annuar Yub.
Mengulas lanjut, Isham dalam tegurannya berkata, Ahmad Zahid sepatutnya bertanya kepada pengundi punca mereka tidak keluar mengundi sehingga menyebabkan kekalahan BN.
“Di Pulai, kita hilang 27,000 pengundi dan sekarang saya kira-kira cuma ada 20 peratus sahaja akar umbi masih menyokong UMNO. Kalau berterusan, 26 kerusi (Parlimen) sedia ada UMNO pada Pilihan raya Umum Ke-16 (PRU16) akan hilang.
“Jadi, UMNO akan habis dan lenyap. Bila saya tegur macam itu, saya tahu akan berdepan risiko, ditekan dan akan ada jentera parti akan menyerang saya. Tapi, ini perkara biasa. Saya perlu juga nyatakan pendirian dan tegur sebab ini bukan hal biasa-biasa pada saya,” katanya.
Pada 6 Disember lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO mengambil keputusan memecat Isham serta merta ketika beliau tidak hadir dalam mesyuarat itu.
Keputusan itu dipercayai mengenai tindakanya yang lantang mengkritik kepimpinan parti MT UMNO terutama berkaitan keputusan bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan dan selepas BN tewas pada Pilih Raya Kecil (PRK) di Kemaman, sebelum ini.
Isham telah menerima surat pemecatannya pada 9 Disember lalu dengan surat pemecatan yang ditandatangan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Kata Isham, beliau tidak akan membuat rayuan kepada pimpinan tertinggi parti susulan pemecatannya kerana keputusan itu telah dibuat oleh Ahmad Zahid tanpa melalui Lembaga Disiplin. – UTUSAN










