Rugi RM890,000 akibat banjir

Rugi RM890,000 akibat banjir

KEADAAN rumah penduduk yang dinaiki air banjir di Taman Perumahan Harmoni Bator, Bachok, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seramai 319 penduduk Taman Perumahan Harmoni Bator di sini, mendakwa kerugian RM890,000 melibatkan kemusnahan harga benda akibat banjir kilat yang melanda kawasan tersebut saban tahun.

Dakwa penduduk, ia berpunca daripada masalah sistem pembentung yang tidak dapat melancarkan aliran keluar air dari tali air di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak, berhampiran kawasan perumahan itu setiap kali hujan lebat.

Pengerusi taman perumahan itu, Azman Azmi berkata, tali air sepanjang 850 meter itu hanya menggunakan pembetung bersaiz kecil yang dibina sejak 20 tahun lalu sebelum kawasan tersebut menjadi penempatan penduduk.

Katanya, setiap kali hujan lebat, 89 keluarga yang tinggal di situ terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jelawat.

“Sejak banjir pada 2014, kami sudah membuat pelbagai permohonan kepada pihak terbabit termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan IADA Kemasin-Semerak namun belum mendapat jawapan,” katanya selepas pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang di pekarangan surau taman perumahan itu, semalam.

Sementara itu, seorang penduduk, Kamalizan Khaizi, 43, berkata, limpahan dari tebing tali air itu menyebabkan kawasan luar rumah mereka dinaiki air sedalam 0.6 meter.

“Dalam rumah pula air sedalam 0.3 meter. Selain itu, kami sering berdepan dengan haiwan berbisa terutama ular senduk, sawa dan kala jengking selepas banjir surut.

“Tahun ini sudah dua kali kami berpindah ke PPS dan masih bersiap siaga hadapi masalah yang sama selagi Monson Timur Laut belum berakhir,” ujarnya.

Sementara itu, Zameri berkata, masalah penduduk akan dibincangkan dalam mesyuarat khas di Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Bachok untuk pelan tindakan awal.

“Kita akan mendapat kerjasama IADA Kemasin-Semerak bagi tindakan drastik dalam usaha mengatasi kawasan taman perumahan itu tidak mudah dinaiki air,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×