Rosol nafi isytihar sokong Anwar - Utusan Malaysia

Rosol nafi isytihar sokong Anwar

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menafikan dakwaan kononnya beliau akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial semalam.

Rosol yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau masih setia dengan parti itu dan menyifatkan penyebaran berita palsu itu adalah untuk memecah-belahkan barisan kepimpinan Bersatu.

“Saya dikejutkan dengan penyebaran satu berita palsu bertajuk ‘Sokong PM: Rosol akan keluar kenyataan esok’ yang tular sejak semalam.

“Berita palsu itu disebarkan bagi menggambarkan seolah-olah saya akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu kepada mana-mana pihak, terutama pihak media,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sekurang-kurangnya tujuh atau lapan Ahli
Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menyatakan sokongan kepada
Anwar.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz
Syed Abdul Fasal yang sebelum ini turut menyertai lima Ahli Parlimen daripada parti tersebut menyatakan sokongan terhadap kerajaan dalam tempoh tiga bulan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, penyebaran berita palsu itu adalah berniat jahat dan satu tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu untuk menggugat kesepaduan parti dan menjatuhkan imej Ahli Parlimen PN dan Bersatu.

“Pendirian saya tetap teguh dan kekal taat setia bersama rakan pemimpin lain meneruskan perjuangan dalam PN,” katanya.

Tambahnya, semua Ahli Parlimen PN telah menyatakan kesetiaan masing-masing dan akan terus menjunjung nilai kebersamaan dan kesepaduan dalam perjuangan Bersatu dan PN.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi atau melakukan tindakan tidak bertanggungjawab seperti penularan berita palsu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya