Petronas runding beli minyak dengan Rusia

Petronas runding beli minyak dengan Russia

ANWAR Ibrahim (kiri) bersalam dengan tetamu yang hadir ke Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Malaysia melalui Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan berunding dengan Russia untuk pembelian bahan api bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan rakyat negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini banyak negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang dahulu menyekat Russia terpaksa berebut membeli minyak dari negara berkenaan.

“Nasib baik hubungan kita dengan Russia masih baik. Jadi, pasukan Petronas boleh berunding dengan Russia,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Perdana Menteri berkata, tindakan diplomasi awal kerajaan berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz, sekali gus mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara.

Katanya, ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan AS memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan global, harga minyak serta bekalan baja yang menjadi keperluan penting negara.

“Alhamdulillah, kapal minyak Petronas semalam telah selamat tiba di Pengerang Integrated Complex. Keperluan penghantaran ke Pengerang ini penting kerana proses penapisan hanya boleh dilakukan di situ.

“Kejayaan tersebut hasil hubungan awal kerajaan dengan kepemimpinan Iran membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa mengenai masa depan Selat Hormuz masih menemui jalan buntu,” ujarnya.

Perdana Menteri mengakui, masih terdapat beberapa kapal negara yang berdepan masalah termasuk kelewatan dan kerosakan, namun usaha sedang giat dijalankan untuk menyelesaikannya.

Katanya, krisis global itu turut mendorong negara lain mendapatkan kerjasama Malaysia termasuk Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang mengadakan lawatan baru-baru ini bagi membincangkan bekalan petrol, diesel dan baja.

“Keutamaan kita tetap kepada keperluan domestik. Jika ada lebihan, kita bantu negara sahabat. Jika tidak, kita fokus kepada rakyat kita dahulu,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN