MN tidak jejas kestabilan Kerajaan Perpaduan – Anwar

MN tidak jejas kestabilan Kerajaan Perpaduan – Anwar

Anwar Ibrahim menyantuni orang ramai sebelum makan tengah hari di Medan Selera Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya, semalam. – utusan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, usa­ha untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Malah kata Perdana Menteri, semua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan telah mem­berikan ikrar untuk menumpukan perhatian kepada urusan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat hingga pilihan raya akan datang.

“Soal orang ada keinginan atau kecenderungan masing-masing, soal berpecah atau bercerai-berai, itu bukan masalah saya dan bukan masalah kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, di sini, semalam.

Anwar berkata, kerajaan akan kekal melaksanakan ama­nah rakyat tanpa terkesan dengan isu peribadi atau pendirian individu tertentu.

“Kerajaan akan terus be­kerja dan melaksanakan tugas. Perkara lain itu adalah urusan mereka, kerajaan tidak akan mencampuri urusan dalaman parti kerana fokus kekal kepada tadbir urus ekonomi negara dan kepentingan rakyat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pas menyambut baik cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk mewujudkan semula MN jika UMNO mengisytiharkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau sangat setuju dengan cadangan yang dilontarkan Mu­hamad Akmal.

Mengulas kemelut melanta gabungan Perikatan Nasional (PN) Anwar berkata, kerajaan tidak masuk campur dalam pergeseran yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Katanya, kemelut politik dan perpecahan dalam kalangan parti politik yang terjadi pada waktu ini bukan juga dalam tanggungjawab kerajaan.

Menurutnya, tumpuan utama pentadbiran pada masa kini adalah untuk menumpukan kestabilan negara, pemulihan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu pengurusan bazar Ramadan dilaksanakan dengan lebih telus agar tidak wujud penglibatan orang tengah dan ejen yang mengambil komisen.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan peluang berniaga dimanfaatkan rakyat untuk menambah sumber pendapatan.

“Mengambil contoh yang dilaksanakan oleh Petaling Jaya secara lebih telus melalui pendaftaran dalam talian bagi mengelakkan penglibatan orang tengah dan ejen yang mengambil komisen.

“Jadi, ahli-ahli pengurusan bandar raya sepatutnya memberi kerjasama supaya proses lebih teratur dan mengelakkan amalan angkat komisen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×