Kemboja-Thailand komited kekalkan keamanan - Utusan Malaysia

Kemboja-Thailand komited kekalkan keamanan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik komitmen ditunjukkan Kemboja dan Thailand yang terus memilih kaedah dialog serta usaha diplomatik bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan kedua-dua negara dapat dikekalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan kedua-dua negara itu meneruskan rundingan damai menggambarkan iltizam jelas dalam mengekalkan kestabilan serantau, sekali gus mengelakkan sebarang ketegangan yang boleh menjejaskan hubungan dua hala.

Menurutnya, Malaysia turut menghargai peranan proaktif Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump yang terus mempromosikan pendekatan penyelesaian secara aman terhadap situasi semasa membabitkan Kemboja dan Thailand.

“Malaysia mengalu-alukan komitmen Kemboja dan Thailand untuk memastikan penyingkiran senjata serta peralatan berat yang boleh memusnahkan, selain penyelarasan dan pelaksanaan kerja-kerja nyahperiuk api kemanusiaan secara tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan.

Anwar turut menyambut baik jaminan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul untuk mengelakkan sebarang tindakan provokatif serta mengambil langkah lanjut dalam memperkukuh keyakinan bersama.

Anwar berkata, usaha berterusan itu penting dalam memajukan pemulihan hubungan dua hala yang lebih produktif antara kedua-dua negara, sekali gus menyumbang kepada keamanan serta kestabilan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN