Rosmah Mansor kemuka representasi ketiga mohon gugur 17 pertuduhan

Rosmah Mansor kemuka representasi ketiga mohon gugur 17 pertuduhan

ROSMAH Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi permohonan membatalkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya. UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah memaklumkan, representasi baharu itu yang dihantar semalam mengandungi beberapa perkembangan dan isu penting yang perlu dipertimbangkan oleh Peguam Negara.

Sehubungan itu, beliau memohon Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan prosiding hari ini bagi membolehkan kandungan representasi itu diteliti terlebih dahulu.

Representasi itu merupakan yang ketiga dihantar oleh isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos lalu masih belum diputuskan oleh AGC.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan pihak pendakwaan menerima representasi itu semalam namun beliau belum berkesempatan untuk mentaklimatkannya kepada Peguam Negara.

Beliau berkata, pendakwaan tidak membantah penangguhan kerana kandungan representasi itu menyentuh isu serius yang juga akan dihujahkan dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan Rosmah.

Bagaimanapun Hakim K. Muniandy menolak permohonan penangguhan dan mengarahkan pihak-pihak memulakan penghujahan dalam permohonan itu.

Rosmah, 72, yang baru menyambut ulang tahun kelahiran tiga hari lalu (10 Disember) memohon menggugurkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya.

Sementara itu, pasukan pembelaan menghujahkan, pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh isteri bekas Perdana Menteri adalah cacat dan mengelirukan kerana tidak mendedahkan siri transaksi atau pergerakan wang ke dalam akaun beliau.

Peguam Amer Hamzah Arshad berhujah, 12 pertuduhan pengubahan wang haram itu juga kabur kerana tidak menyatakan apa aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh.

Peguam bela menyatakan, pertuduhan dirangka dengan cara yang cukup `aneh’ sehingga menyukarkan anak guamnya menyediakan pembelaan.

Hujah Amer Hamzah, butiran dalam pertuduhan ke-13 hingga ke-17 (gagal isytihar pendapatan) mengelirukan kerana telah menggabungkan kesalahan pengubahan wang haram.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 dan 17 Januari depan bagi menyambung penghujahan.

Rosmah dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

Perbicaraan tersebut telah bermula pada 24 Ogos lalu dan dua orang saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Menurut ucapan pembukaan perbicaraan tersebut, Rosmah telah mendepositkan puluhan keping cek dan wang tunai berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun Affin Bank miliknya walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika itu.

Cek dan wang tersebut didepositkan dengan bantuan Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Roslan Sohari.

Wang lebih RM7 juta itu didakwa digunakan oleh Rosmah untuk membayar bil-bil telefon dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarganya.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Hukuman bagi kesalahan membabitkan pengubahan wang haram dan elak cukai itu ialah penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya