PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram selepas berpuas hati tiada prospek kejayaan jika rayuan diteruskan di Mahkamah Rayuan.
AGC menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2025 berhubung keputusan tersebut setelah meneliti sepenuhnya alasan penghakiman yang telah diperolehi.
“Antara faktor utama dipertimbangkan ialah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah seperti dikehendaki dalam perbicaraan jenayah memandangkan saksi-saksi penting bagi membuktikan pertuduhan terhadap Rosmah telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan.
“Dalam keadaan sedemikian, kesalahan predikat terhadap tertuduh juga tidak dapat dibuktikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut AGC, semua aspek utama kes termasuk isu fakta dan undang-undang telah diteliti sebelum keputusan untuk tidak meneruskan rayuan dibuat dengan Notis Penarikan Balik Rayuan difailkan pada 9 Disember lalu.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Notis Penarikan Balik Rayuan yang difailkan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan pada 9 Disember menyatakan bahawa pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan berkenaan.
Bagaimanapun, AGC berkata, keputusan menarik balik rayuan tersebut tidak menjejaskan prosiding lain yang masih berjalan termasuk kes rasuah projek solar hibrid yang melibatkan tertuduh dan kini berada pada peringkat Mahkamah Rayuan.
“Tertuduh sebelum ini telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.
“Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan,” katanya.
AGC turut menegaskan komitmen berterusan untuk melaksanakan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti dengan setiap keputusan dibuat berdasarkan undang-undang serta bukti yang tersedia bagi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam terpelihara.
Pada 19 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepaskan dan membebaskan Rosmah, 74, daripada pertuduhan terbabit selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan kesemua tuduhan atas alasan tuduhan tidak berasas dan pendakwaan gagal mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023 dan perbicaraan bermula pada 24 Ogos 2023 dengan dua saksi memberi keterangan.
Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Aras Bawah, Jalan Ampang antara 4 Disember 2013 hingga 8 Jun 2017, dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pertuduhan pengelakan cukai pula dibuat di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mewajibkan borang taksiran pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 dikemukakan kepada Ketua Pengarah LHDN selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun.
Malah, sekiranya kegagalan berbuat demikian tanpa alasan munasabah adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 112 akta sama. – UTUSAN










