KUALA LUMPUR: Pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung 17 pertuduhan pengubahan wang haram, tahun lalu.
Menurut notis penarikan balik rayuan difailkan pada 9 Disember lalu, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya tidak berhasrat untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024.
“Sehubungan itu, tarikh bagi pengurusan kes yang ditetapkan pada 22 Disember ini dilapangkan.
“Oleh itu, notis untuk merayu bertarikh 20 Disember 2024 disifatkan telah terbatal sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Aturan 73, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994,” kata notis tersebut.
Pada 19 Disember 2024, Mahkamah Tinggi membebas dan melepas Rosmah daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan ia tidak berasas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam dalam setiap tuduhan.
Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.
Rosmah juga didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018. – UTUSAN










