Rosidah raih pendapatan berganda jual burger sambal belacan

Rosidah raih pendapatan berganda jual burger sambal belacan

ROSIDAH (tengah) ketika menerima kunjungan sempena Program Cakna Kasih Orang Asli Tanah Abang, di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang wanita di Kampung Orang Asli Tanah Abang di sini mampu meraih pendapatan berganda selepas memperkenalkan menu burger sambal tumbuk belacan kepada pelanggannya.

Rosidah Awang, 39, berkata, dia sebelum ini memang berniaga burger untuk membantu pendapatan suami yang bekerja kampung.

Katanya namun sejak melahirkan anak bongsunya jualan burgernya terhenti kerana memberi fokus kepada anaknya.

Menurutnya sebelum ini dia hanya mampu meraih hasil tertinggi sekitar RM60 sehari ketika menjual burger biasa namun kini mampu mencapai sehingga RM120 dalam sehari.

“Saya mula melakukan inovasi terhadap menu burger ini selepas menyertai kursus Penyediaan dan Pembuatan Makanan & Minuman di bawah Program Yayasan Petronas empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

“Kami diajar tentang penyediaan dan pembuatan makanan dan minuman termasuklah belajar cara membuat sambal.

“Bila berniaga kembali ramai pelanggan yang mahukan burger yang lebih pedas kerana bagi mereka kepedasan sos tidak mencukupi. Jadi saya mendapat idea untuk letak sambal tumbuk belacan juga sambal tumis dalam burger dan tidak sangka mendapat sambutan menggalakkan, ” katanya.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata demikian ketika ditemui sempena Program Cakna Kasih Orang Asli Tanah Abang, di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing semalam.

Katanya berikutan sambutan diterima dia juga merancang untuk mengembangkan serta meluaskan lagi pasaran burgernya.

“Ketika kursus kami juga dilatih cara untuk memasarkan produk termasuklah menggunakan platform media sosial. Kami juga diajar agar sentiasa mengambil tahu apa kehendak pelanggan dan sentiasa perbaiki dan tambah baik mutu produk.

“Selain burger saya turut menjual sambal petai dimana pernah meraih pendapatan RM600 ketika menjual dalam karnival Inovasi Makanan yang dianjurkan oleh UMTJ dan berlangsung selama dua hari di Mersing, ” katanya lagi.

Yayasan Petronas dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah membangunkan lebih 2,000 individu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur sebagai usahawan dan
tenaga kerja berkemahiran melalui Program Yayasan Petronas empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

Program yang bermula sejak tahun 2020 bertujuan meningkatkan taraf kehidupan peserta dengan meningkatkan kemahiran, memberikan bimbingan dan mendorong peserta ke arah keusahawanan yang lestari, terjamin, dan progresif.

Kursus dan latihan kemahiran ditawarkan kepada peserta terpilih bagi membangunkan potensi diri sekaligus membantu mereka menjana pendapatan melalui penempatan pekerjaan dan pembangunan keusahawanan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya