KUALA LUMPUR: Muhammad Danial Akmal Zulkhairi, 14, yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu dari sebuah sekolah berasrama penuh mendakwa melarikan diri kerana dibuli.
Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, berkata, anaknya yang ditemukan oleh orang awam di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, dekat sini mengakui dibuli dengan teruk.
Katanya, akibat kejadian buli itu, Muhammad Danial yang mesra disapa sebagai Enel bertindak nekad untuk melarikan diri dari sekolah pukul 3 pagi, Khamis lalu.
“Perkara ini didedahkan oleh anak saya kenapa dia begitu tekad untuk melarikan diri dari sekolah pada awal pagi itu.
“Enel sudah tidak tahan dan tidak mampu untuk menghadapi perbuatan buli yang sangat teruk dilakukan kepadanya.
“Ini bukan kali pertama Enel dibuli. Sebelum ini dia pernah juga dibuli, namun, saya dinasihatkan untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik dan tidak mendakwa si pelaku,” katanya di sini.
Ekoran kejadian buli yang berlaku kali ini terhadap Enel, Shuhada berkata, tindakan perundangan akan diambil oleh pihaknya berhubung kejadian buli itu.
Tegasnya, tindakan sedemikian perlu dilakukan bagi memperjungkan nasib anaknya kerana dibuli dengan sangat teruk.
“Ini kali kedua kejadian buli yang sangat teruk berlaku kepada Enel. Saya tidak boleh berdiam diri lagi.
“Saya akan lawan perkara ini dan mengambil tindakan tegas supaya keadilan dapat ditegakkan,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai penemuan Enel, Shuhada berkata, anaknya itu ditemukan dalam keadaan sangat lemah kerana tidak makan.
Menurutnya, Enel hanya makan sekali sahaja pada hari pertama sejak melarikan diri dari sekolah, sekadar menjamah roti dan minum air yang diberikan oleh seorang individu.
Katanya lagi, Enel melarikan diri dari asrama sekolah sehelai sepinggang dan tidak membawa dompetnya bersama.
“Ketika bertemu dengan Enel pada malam tadi (Jumaat), dia kelihatan sangat tidak terurus dan seolah-olah macam orang gelandangan.
“Saya tidak pernah melihat Enel sebegitu rupa. Namun saya sekeluarga amat bersyukur kerana Enel telah ditemukan dalam keadaan selamat,” ujarnya.-UTUSAN