REE: Agong berkenan saksikan pertukaran MoU syarikat Malaysia di Dubai - Utusan Malaysia

REE: Agong berkenan saksikan pertukaran MoU syarikat Malaysia di Dubai

YANG di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. pada majlis pemeteraian MoU di Dubai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan majlis pertukaran dokumen berkaitan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

Istana Negara dalam satu catatan berkata, majlis tersebut membabitkan syarikat-syarikat Malaysia dan kerajaan negeri Pahang dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) iaitu sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berpangkalan di Abu Dhabi.

“Ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Masdar yang telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 5 dan 6 Oktober lalu.

“Majlis pertukaran dokumen tersebut berlangsung selepas majlis perasmian Pavilion Malaysia yang juga telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda di Expo City, Dubai semalam (kelmarin),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Untuk rekod, syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dalam majlis tersebut adalah Tenaga Nasional Berhad, Citaglobal Berhad, Malakoff Berhad, Cypark Resources Berhad, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Tadau Energy Sdn. Bhd.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda berdua kini bersemayam di Abu Dhabi bagi lawatan khas sehingga 4 Disember ini.

Lawatan khas tersebut adalah sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang bermula pada 30 November lalu sehingga 12 Disember ini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya