SEREMBAN: Sebanyak 26 lokasi panas (hotspot) dan 15 kawasan ‘flashpoint’ yang berpotensi berlaku kejadian tidak diingini dikenal pasti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bermula minggu hadapan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lokasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan pengalaman mengendalikan pilihan raya sebelum ini serta penilaian terkini Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, daripada 26 lokasi hotspot itu, sebanyak 11 dikenal pasti di daerah Seremban, masing-masing lima di Jempol dan Tampin, tiga di Nilai serta dua di Rembau.
“Kami akan menunggu proses penamaan calon pada 18 Julai ini. Selepas senarai calon dimuktamadkan, kami akan membuat penilaian lanjut terhadap setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyusun perancangan keselamatan yang lebih terperinci,” katanya ketika ditemui semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM Negeri Sembilan berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi keseluruhan proses PRN termasuk semasa hari penamaan calon, tempoh berkempen, pengundian awal, hari pengundian dan tempoh pasca pilihan raya.
Katanya, seramai kira-kira 4,800 pegawai dan anggota kontinjen Negeri Sembilan akan digerakkan sepanjang operasi PRN.
“Selain itu, kami turut menerima bantuan hampir 1,373 pegawai dan anggota daripada Bukit Aman bagi membantu kawalan di pusat-pusat mengundi.
“Bantuan itu akan mula digerakkan sebaik sahaja tempoh berkempen bermula sehingga hari pengundian dan dua hingga tiga hari selepas keputusan pilihan raya diumumkan, bergantung kepada keperluan serta situasi semasa,” katanya. – UTUSAN










