KANGAR: “Kejadian berlaku sekelip mata, malah rasa seperti dihentak dari arah belakang oleh benda berat semasa disambar petir.”
Itu dikongsikan mangsa panahan petir dalam kejadian di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, di sini, kelmarin, Nor Lelawati Abu Bakar, 39, yang bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius akibat insiden tersebut.
Katanya, akibat panahan petir itu, dia dan anaknya, Muhamad Azizul Jaafar, 8, tidak sedarkan diri dan perlu dibantu oleh ahli keluarga serta jiran yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Semasa mula sedarkan diri, saya sudah berada di dalam kereta untuk dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan. Ketika itu, saya berasa haus malah badan juga tidak dapat bergerak sepenuhnya,” katanya.
Nor Lelawati berkata, anaknya kini dalam keadaan stabil selepas melecur pada bahagian leher, perut dan kaki kiri akibat kejadian tersebut.
Katanya, organ dalaman anaknya juga tidak terjejas dan dia masih ditidurkan buat masa ini di unit rawatan rapi (ICU) bagi membolehkan rawatan lanjut dijalankan oleh pasukan perubatan.
“Anak saya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi mendapatkan rawatan daripada pakar kulit di sana,” katanya.
Sementara itu, abang kepada Azizul, Amirizal Jaafar, 32, berkata, sebelum kejadian itu, dia mendengar bunyi letupan seperti mercun dari arah lokasi kejadian.
Katanya, apabila melihat kedua-dua mangsa terbaring, dia bergegas membantu mereka untuk dihantar ke HTF bagi mendapatkan rawatan.
“Baju dan seluar Azizul koyak, malah terdapat kesan terbakar pada kulit dengan bau hangit akibat panahan petir tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 7 petang ketika kedua-dua mangsa berkenaan sedang berjalan pulang dari rumah jirannya.
Katanya, ibu mangsa masih trauma, manakala anaknya mempunyai kesan terbakar pada hampir keseluruhan badan. – UTUSAN










