PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal berundur secara sukarela sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) kerana mahu mengelakkan amalan nepotisme ekoran abangnya, Gobind Singh dilantik Menteri Digital.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ramkarpal menyifatkan tidak sesuai untuk kedua-dua adik-beradik menjadi menteri serta timbalan menteri pada masa sama.
“Kami berterima kasih kepada Ramkarpal di atas sumbangannya dalam merangka pembaharuan undang-undang dan undang-undang baharu, tetapi beliau memutuskan untuk mengosongkan jawatannya supaya tiada ruang pengkritik menuduh DAP mengamalkan nepotisme,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Selain Ramkarpal, V. Sivakumar antara dua pemimpin DAP yang digugurkan daripada rombakan Jemaah Menteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Gobind dilantik Menteri Digital manakala Steven Sim mengetuai Kementerian Sumber Manusia ekoran pengguguran Sivakumar.
Sementara itu, Anthony Loke menolak tanggapan DAP ‘pemenang terbesar’ dalam rombakan Jemaah Menteri hari ini kerana parti itu hanya diberikan satu jawatan tambahan.
“Tidak benar kami pemenang terbesar. Kami hanya ada tambahan satu jawatan,” katanya.
Beliau berkata daripada segi tambahan jawatan, DAP sama dengan UMNO. -UTUSAN










