Rakyat Malaysia tidak perlu panik ramalan ribut suria - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia tidak perlu panik ramalan ribut suria

ROSLAN UMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Rakyat Malaysia tidak perlu panik berhubung ramalan fenomena ribut suria atau ‘solar storm’ sehingga menjejaskan fungsi jaringan internet pada Januari depan.

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, ribut suria adalah satu fenomena alam yang biasa dan kerap berlaku.

“Diramalkan bumi akan dilanda ribut solar yang kuat mencapai ‘solar maximum’ (solar maksimum) pada 2024 dengan suar (nyalaan api) yang cukup kuat dan mampu melumpuhkan internet di dunia selama beberapa minggu pada tahun hadapan.

“Namun, oang awam tidak perlu panik dengan berita viral tersebut kerana fenomena itu biasa dan sentiasa terjadi cuma bezanya adalah lemah dan kuat sahaja.

“Kesan ribut solar ini boleh dilihat pada kejadian aurora di kawasan kutub bumi, malah aurora itu sebenarnya merupakan bukti kewujudan fenomena tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi berlegar di media sosial ketika ini yang menasihatkan orang ramai membuat persiapan ‘kit keselamatan’ dan menyimpan stok makanan serta minuman untuk satu jangka masa yang lama.

Malah, ada dakwaan yang meramalkan kononnya bumi akan bergelap selama 17 hari menyebabkan orang ramai perlu bersedia dengan semua kelengkapan selama tempoh itu menyebabkan golongan berpendapatan rendah bimbang kerana tidak mampu berbuat demikian kerana kekangan kewangan.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, kesan ribut solar kepada bumi dan manusia antaranya boleh mengganggu medan magnet bumi serta menghasilkan Geomagnetically Induced Currents (GIC) yang mampu menjejaskan bekalan kuasa dan elektrik di bumi disebabkan cas yang berlebihan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesan akibat ribut suria tersebut terlalu lemah dan ini berdasarkan rekod-rekod kejadian yang lepas.

“Kesan lain yang boleh dilihat adalah gangguan pada sistem telekomunikasi gelombang radio atau dikenali sebagai gangguan ionosfera mendadak (SID),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya