Rajuk penyu belimbing di Rantau Abang

Rajuk penyu belimbing di Rantau Abang

KALI terakhir pendaratan penyu belimbing direkodkan di Terengganu ialah pada 2017.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Zaman ke­gemilangan Rantau Abang di Dungun sebagai antara lokasi pendaratan penyu belimbing yang penting di dunia, kini dilihat mustahil berulang berikutan spesies tersebut telah lenyap dari perairan Terengganu.

Pendaratan terakhir penyu belimbing yang pernah direkodkan di negeri ini ialah pada 2017.

Malah seorang pakar pemuliharaan penyu telah membuat analisis trend pendaratan dan meramalkan kepupusan spesies itu berlaku seawal tahun 2003.

Dr. Chan Eng Heng juga bekas pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, kehadiran penyu belimbing ke pantai-pantai Terengganu mula di­sedari pada awal 1950-an, namun rekod pertama yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri hanya bermula pada tahun 1967.

Sejak itu, industri pelancongan di Terengganu khususnya Rantau Abang di Dungun berkembang pantas dengan tumpuan pelancong seluruh dunia ke lokasi tersebut untuk menyaksikan pendaratan penyu belimbing.

“Rekod tertinggi yang pernah dicatatkan oleh penyelidik tempatan ialah sekitar 10,000 sarang pada akhir tahun 1960-an dengan anggaran penghasilan sebanyak 853,000 butir telur.

“Kajian yang pernah dijalankan penyelidik tempatan hasil temu bual dengan pemajak telur berlesen pada 1978 pula merekodkan penemuan 3,500 sarang (294,000 telur) pada satu-satu masa ketika itu.

“Itu adalah zaman emas pendaratan penyu belimbing di Terengganu. Bagaimanapun bermula tahun 1978 hingga 1980, jumlah sarang yang direkodkan mula menurun pada kadar purata 469 sarang atau 31 peratus setahun,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, baru-baru ini.

AKTIVIS pemuliharaan penyu mengumpul telur hidupan itu untuk diserahkan kepada Jabatan Perikanan bagi tujuan penetasan di Pantai Batu Buruk, Terengganu.

Ditanya punca penurunan tersebut, beliau yang pernah menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas usahanya untuk melindungi penyu berkata, terdapat banyak faktor termasuk kemajuan dalam bidang teknologi pe­nangkapan ikan dan penggunaan pukat pada waktu itu.

Ia menyebabkan banyak penyu belimbing mati di lautan akibat lemas dalam pukat nelayan.

“Pencemaran alam sekitar yang berlaku di lautan juga menyebabkan kematian penyu belimbing akibat tertelan plastik yang disangka ubur-ubur. Malah kepesatan industri pelancongan sedikit-sebanyak mengganggu pendaratan spesies penyu belimbing ke pantai-pantai sekitar Terengganu,” katanya.

Eng Heng berkata, penjualan telur penyu belimbing yang dimakan secara berleluasa oleh penduduk Terengganu satu ketika dahulu turut menjadi antara faktor pupusnya haiwan tersebut.

“Proses inkubasi telur-telur penyu belimbing yang tidak mencukupi juga menyebabkan usaha menambah populasi itu agak terlambat,” katanya.

Program konservasi penyu belimbing mula diperkasa pada 1985 melalui kerjasama kerajaan, agensi swasta dengan dipelopori oleh UMT secara besar-besaran.

Beliau berkata, kerajaan ne­geri mula mengharamkan amalan makan telur penyu belimbing pada akhir 1988 sebagai usaha memulihara spesies tersebut dan diperkasa dengan pewartaan beberapa lokasi pantai pajakan.

“Namun seperti yang diramalkan saintis, kepupusan penyu belimbing sukar diben­dung kerana pelbagai faktor dan cabaran semua pihak ketika ini adalah untuk mengekalkan tiga lagi spesies penyu iaitu agar, karah dan lipas yang masih ada untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

BELI TELUR PENYU BELIMBING UNTUK DIERAM

Sementara itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu meng­alu-alukan sekiranya terdapat syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini berminat membeli telur penyu belimbing dari luar negara untuk dieram di negeri ini.

Usaha murni itu wajar dilakukan dalam usaha memastikan hidupan marin itu yang semakin pupus kembali mendarat di pe­rairan Terengganu.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, penglibatan syarikat swasta dan NGO penting dalam menjayakan hasrat tersebut memandangkan kos membeli dan membawanya pulang agak tinggi, selain mengambil kira maklum balas daripada pasukan penyelidik memandangankan telur penyu sangat sensitif.

“Saya difahamkan cadangan membawa masuk telur penyu belimbing dari luar negara untuk dieramkan pernah dikemukakan beberapa tahun lalu, namun saya tidakpasti pula sejauh mana pelaksanaannya,” katanya.

Berdasarkan rekod, penyu belimbing kali terakhir mendarat dan bertelur di Terengganu adalah di kawasan pantai antara Jambu Bongkok dan Rantau Abang pada 2017.

ORANG ramai teruja berpeluang melihat dengan lebih dekat anak-anak penyu agar yang dilepaskan di Pantai Kelulut, Marang, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan pendaratan penyu melibatkan spesies agar dan karah semakin meningkat berbanding tahun sebelum ini.

Sebanyak 10,127 sarang penyu tersebut ditemukan yang menghasilkan 741,272 butir telur pada tahun ini manakala 9,632 sarang penyu dijumpai dengan 807,352 butir telur tahun 2022.

Namun, katanya, tiada rekod pendaratan penyu lipas di negeri ini pada tahun ini dan tahun lalu.

“Sebanyak 463,683 ekor anak penyu juga telah dilepaskan di perairan Terengganu pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, larangan penjualan te­lur penyu di negeri ini sejak 1 Jun tahun lalu yang dikuatkuasakan mengikut Enakmen Pemuliharaan Penyu 1951 Pindaan 2021 didapati memberi kesan positif dari sudut kesedaran masyarakat terhadap pemulihan haiwan marin tersebut.

JADIKAN KEPUPUSAN SEBAGAI IKTIBAR

Terengganu perlu menjadikan kepupusan penyu belimbing sebagai iktibar untuk mengelakkan situasi serupa menimpa tiga lagi spesies penyu yang masih ada di negeri ini ketika ini.

KAKITANGAN Jabatan Perikanan Terengganu mengumpul anak penyu agar sebelum dilepaskan ke laut di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah, Kerteh, Kemaman. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Fokus pemuliharaan tiga lagi spesies iaitu penyu karah, agar dan penyu lipas perlu dipertingkat kerana ia adalah aset berharga terutama dalam aspek pelanco­ngan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, agak mustahil mengembalikan semula kegemilangan Rantau Abang sebagai antara lokasi pendaratan utama penyu belimbing di dunia, namun peluang masih ada untuk memastikan Terengganu menjadi ‘rumah’ untuk baki tiga spesies tersebut.

“Banyak faktor kepupusan penyu belimbing telah dinyatakan oleh golongan saintis dan penyelidik sebelum ini. Kita juga tidak menolak bahawa perubahan ekosistem laut serta pantai kerana pencemaran dan pembangunan juga antara faktor penyu belim­bing pupus di Rantau Abang.

“Kita perlu move on dengan fokus memastikan tiga lagi spesies penyu itu kekal di Terengganu dan mampu diwariskan untuk generasi akan datang,” katanya.

JANGAN MERAJUK LAGI

‘Datanglah semula ke Rantau Abang, jangan merajuk lagi.’ Itulah luahan seorang pemajak telur penyu di Pantai Rantau Abang yang merindui untuk membelai penyu belimbing yang kali terakhir ditemukannya mendarat untuk bertelur di pantai itu pada 15 Julai 2010.

Mohd. Salleh, 77, yang tinggal di Rantau Abang berkata, dia selepas itu tidak lagi bertemu de­ngan penyu belimbing singgah dan bertelur di Rantau Abang, sambil melepas lelah setelah menjelajah perairan dunia.

Dia kecewa apabila harapannya untuk bertemu semula penyu raksasa itu belum tercapai hingga sekarang, namun tetap mengharap­kan penyu tersebut akan menjenguk Rantau Abang yang kini hilang seri.

“Saya kebiasaannya berbisik kepada penyu belimbing yang mendarat dan bertelur di pantai ini supaya kembali muncul di Rantau Abang termasuk yang ditemukan pada 2010 itu.

“Selepas berbisik, saya akan mencalit wangian di hidung penyu belimbing dengan harapan me­ngingati wangian tersebut apabila menghampiri pengairan Terengganu dan mendarat semula di pantai ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rantau Abang.

Mohd. yang lebih dikenali Pak Non berkata, penyu belimbing yang ditemukan itu berukuran kira-kira 1.5 meter lebar dan dua meter panjang.

Katanya, dia sendiri tidak pasti punca penyu belimbing merajuk sehingga tidak ingin mendarat lagi di Rantau Abang.

Namun, dia tidak menolak kemungkinan kerana hidupan laut itu banyak dikasari dan mati angkara perbuatan manusia, sama ada di laut atau di pantai.

“Saya percaya penyu belim­bing masih ada, tidak lenyap di pe­rairan negara ini, sebaliknya tetap wujud walaupun tidak ba­nyak seperti dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN