PSP terima kelengkapan anti rusuhan, sniper, van tempur

Pasukan Simpanan Persekutuan terima kelengkapan anti rusuhan, sniper, van tempur bernilai lebih RM20 juta

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan perolehan kelengkapan bagi kegunaan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) dengan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM20 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perolehan berkenaan membabitkan kelengkapan keselamatan anti rusuhan iaitu masing-masing 1,000 unit Protective Armour Body (PAB) dan Gas Mask dengan kos bernilai RM10 juta.

Kata beliau, peruntukan sebanyak RM 2.3 juta juga diperolehi bernilai bagi 13 laras Sniper Rifle .22.

“PSP juga memperoleh sepuluh buah van tempur berjumlah RM3.6 juta selain empat buah kenderaan float bonded truck bagi kegunaan Unit Berkuda PSP melibatkan RM2.2 juta.

“Kita (polis) juga dapat perolehan penggantian 175 laras senjata mengawal rusuhan (riot gun) dengan kos RM2.8 juta dan sepuluh ekor anjing rusuhan berjumlah RM900,000,” katanya dalam Majlis Perasmian Markas Pasukan Simpanan Persekutuan dan Sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan Ke-68.

Razarudin berkata, adalah diharapkan, aset yang bakal diperolehi nanti akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga PSP untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Ucapan terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan khususnya KDN yang telah meluluskan perolehan itu,” jelasnya.

Mengulas mengenai markas PSP, Razarudin berkata, pada asalnya markas itu terletak di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, Kuala Lumpur sebelum kemudiannya berpindah di Kem Briged Tengah, Cheras pada tahun 2006.

Kata beliau, markas baharu ini akan menempatkan Unit 1, Unit 4, Unit Berkuda PSP dan Terup Wanita serta blok pentadbiran, pengangkutan, dewan dan blok perumahan buat warga PSP.

“Dengan tersergamnya markas ini membuktikan manifestasi pengiktirafan kerajaan terhadap peri pentingnya peranan PSP dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam sejak sekian lama.

“Kerajaan dan pucuk pimpinan pasukan juga sentiasa mengambil cakna akan kebajikan dan keperluan aset warganya sejajar dengan arus pembangunan dan teknologi semasa,” jelasnya.

Tambah beliau, PSP merupakan salah satu sayap kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bernaung di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Justeru itu, kata beliau, seiring dengan peredaran masa, peranan dan fungsi PSP jauh lebih meluas dan mencabar serta tidak hanya tertumpu kepada hal yang melibatkan ketenteraman awam semata-mata.

Razarudin berkata, peranan PSP telah dipelbagaikan termasuklah bagi tugas risikan dalam membantu membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan seperti sindiket penyeludupan kontraban meliputi petrol, diesel bersubsidi, dadah, minuman keras, barangan keperluan harian yang merupakan barang kawalan seperti beras, tepung, gula dan lain-lain serta hasil khazanah negara.

“Selain itu, PSP turut terlibat dalam kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pengganas dan menyekat kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin,” ujarnya.

Kata Razarudin, begitu juga dengan Unit Berkuda PSP yang memberikan khidmat rondaan sepanjang sempadan negara termasuk di persisiran pantai.

“Sepanjang tempoh awal tahun sehingga Oktober lalu, sebanyak 41 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, ketum, mercun dan khazanah negara berjaya dikesan oleh PSP

“Kesemua kes ini melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM31.8 juta dengan tangkapan seramai 163 orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya