Perang Iran dorong peningkatan eksport minyak mentah AS

Perang Iran dorong peningkatan eksport minyak mentah AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Amerika Syarikat (AS) hampir menjadi pengeksport bersih minyak mentah minggu lalu buat pertama kali sejak Perang Dunia Kedua apabila penghantaran melonjak menghampiri paras rekod bagi memenuhi permintaan pembeli di Asia dan Eropah yang mencari bekalan alternatif susulan gangguan dari Asia Barat akibat perang Iran.

Perang AS-Israel dengan Iran mencetuskan gangguan terbesar dalam sejarah pasaran tenaga global apabila ancaman terhadap perkapalan menyebabkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia tidak dapat melalui laluan Selat Hormuz.

Penapis minyak di Asia dan Eropah yang bergantung kepada bekalan tersebut terpaksa mendapatkan kargo alternatif dari pelbagai sumber, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap minyak dari AS, pengeluar terbesar dunia.

Namun, penganalisis dan pedagang berkata, AS kini semakin menghampiri kapasiti maksimum eksportnya.

Menurut laporan Reuters, import bersih minyak mentah menyusut kepada hanya 66,000 tong sehari minggu lalu, paras terendah dalam rekod data mingguan sejak 2001, menurut data kerajaan AS yang dikeluarkan pada Rabu.

Pada masa sama, eksport meningkat kepada 5.2 juta tong sehari, tertinggi dalam tempoh tujuh bulan.

Secara tahunan, kali terakhir AS menjadi pengeksport bersih minyak mentah adalah pada tahun 1943, menurut data tersebut.

“Peningkatan eksport minyak mentah AS menunjukkan pembeli di Lembangan Atlantik dan Asia semakin meluaskan sumber bekalan mereka, dengan perbezaan harga minyak antara rantau membantu menampung kos penghantaran, kata Naib Presiden Pasaran Minyak Rystad, Janiv Shah.

Negara seperti Greece mula membeli minyak mentah AS buat pertama kali dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kira-kira 2.4 juta tong sehari, atau sekitar 47 peratus eksport AS minggu lalu, dihantar ke Eropah, menurut data perkhidmatan penjejakan kapal Kpler.

Sekitar 1.49 juta tong sehari, atau kira-kira 37 peratus, menuju ke Asia, meningkat daripada 30 peratus setahun lalu.

Antara pembeli utama termasuk Belanda, Jepun, Perancis, Jerman dan Korea Selatan.

Sebuah kapal yang membawa 500,000 tong minyak mentah dilaporkan dalam perjalanan ke Turkiye, yang bakal menjadi eksport pertama AS ke negara itu dalam sekurang-kurangnya setahun, menurut data Kpler.

Harga Brent jadikan minyak AS lebih menarik

Import ke AS pula merosot lebih daripada satu juta tong sehari kepada 5.3 juta tong sehari minggu lalu.

Namun, AS masih mengimport sejumlah besar minyak mentah kerana loji penapisnya direka untuk memproses minyak yang lebih berat dan berkandungan sulfur tinggi berbanding minyak ringan yang dihasilkannya sendiri.

Gangguan bekalan dari Asia Barat meningkatkan jurang harga antara minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI) AS kepada setinggi AS$20.69 (RM81.89) setong bulan lalu.

Keadaan ini mengurangkan minat pembeli AS terhadap import, sambil menjadikan minyak AS lebih menarik kepada penapis di Eropah dan Asia.

Harga kargo minyak mentah fizikal untuk penghantaran segera ke Eropah mencecah paras rekod hampir AS$150 (RM593.26) setong pada Isnin, manakala harga untuk Afrika turut mencatatkan paras tertinggi baharu, menurut data LSEG dan pedagang.

Eksport hampiri had kapasiti

Menurut Penganalisis Kpler, Matt Smith, eksport AS dijangka mencecah sekitar 5.2 juta tong sehari bagi bulan April, jumlah yang hampir mencapai had kapasiti secara bulanan.

AS berupaya mengeksport sehingga sekitar enam juta tong sehari, menurut pedagang dan penganalisis, dengan mengambil kira kekangan kapasiti saluran paip serta ketersediaan kapal.

Eksport negara itu pernah mencatat rekod tertinggi sebanyak 5.6 juta tong sehari pada tahun 2023, menurut data kerajaan.

“Pasaran kini sudah menguji had maksimum eksport dengan 5.2 juta tong sehari dieksport minggu lalu. Setiap tong tambahan selepas ini akan melibatkan kos penghantaran dan logistik yang lebih tinggi berbanding sebelumnya,” kata pedagang minyak berpangkalan di Dubai, Bekzod Zukhritdinov.

Pelepasan minyak mentah sederhana berasid dari Rizab Petroleum Strategik berpotensi mendorong lebih banyak minyak mentah ringan dan rendah sulfur dari AS untuk dieksport. Namun, kekurangan kapal tangki serta kadar tambang penghantaran yang lebih tinggi boleh menjejaskan permintaan eksport tersebut.

Penganalisis Kanan Vortexa, Rohit Rathod berkata, kira-kira 80 kapal tangki gergasi kosong dilaporkan sedang menuju ke Teluk Mexico setakat Rabu, berkemungkinan untuk mengambil muatan minyak mentah sepanjang April dan Mei.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×