IPOH: Ipoh Specialist Hospital (KPJ Ipoh) mencatatkan 3,000 pembedahan jantung terbuka sejak tahun 2000, sekali gus mencerminkan lebih dua dekad keupayaan berterusan dalam bidang kardiotorasik.
Hospital yang merupakan sebahagian daripada rangkaian KPJ Healthcare Berhad itu terus memperkukuh akses rawatan jantung di wilayah utara Semenanjung.
Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr Ko Chung Sen berkata, beliau telah mengendalikan sebanyak 3,287 kes pembedahan jantung terbuka sepanjang kerjayanya, termasuk 3,000 kes di hospital berkenaan.
“Pelaksanaan prosedur kompleks ini disokong oleh pasukan perubatan khusus serta kemudahan bilik pembedahan jantung dan Unit Rawatan Rapi Kardiak (CICU) yang lengkap.
“Kira-kira 80 peratus prosedur melibatkan pembedahan Coronary Artery Bypass Graft (CABG), manakala selebihnya penggantian injap jantung dan prosedur kompleks lain,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan pesakit hadir dengan pelbagai masalah kesihatan dan memerlukan penjagaan bersepadu serta pemantauan rapi sebelum dan selepas pembedahan.
“Setakat ini, kadar kejayaan adalah antara 97 hingga 99 peratus, namun setiap pembedahan tetap mempunyai risikonya,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keupayaan mengendalikan kes kompleks secara selamat.
“Ini mengukuhkan komitmen kami untuk memperluaskan perkhidmatan lebih dekat kepada komuniti, selaras dengan tujuan ‘Care for Life’,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Perubatan hospital berkenaan, Dr Luis Chen Shian Liang berkata, pencapaian ini mencerminkan gabungan kepakaran individu serta kekuatan institusi.
Menurutnya, ia turut memperluaskan akses rawatan kardiotorasik di wilayah utara, membolehkan pesakit mendapatkan rawatan tanpa perlu ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, pesakit, Leong Sow Lin, 73, berkata, beliau pada mulanya berasa takut berikutan faktor usia.
“Saya risau komplikasi seperti strok, namun keadaan saya kini baik dan saya percayakan doktor,” katanya. – UTUSAN










