PUTRAJAYA: Projek tanaman cili secara fertigasi di bawah Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat–Usahawan Tani (IPR-INTAN) berjaya menjana hasil lebih 200 tan dengan nilai kira-kira RM1.5 juta setakat ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, projek tanaman cili itu yang kini memasuki pusingan kelima telah memberi manfaat kepada 20 peserta dengan purata pendapatan bulanan sekitar RM3,000.
“Program IPR-INTAN yang dilaksanakan sejak Mac 2023 itu menunjukkan perkembangan positif dengan penglibatan semakin meningkat dalam kalangan peserta.
“Ia adalah untuk membantu golongan sasar menaikkan pendapatan rakyat serta membasmi kemiskinan. Ini membuktikan perkara itu telah membuahkan hasil,” katanya selepas mengadakan lawatan ke IPR-INTAN Putrajaya di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif itu juga bagi memastikan jaminan bekalan makanan asas negara kekal stabil dan tidak berdepan gangguan bekalan, susulan krisis tenaga global yang sedang dihadapi.
Tambahnya, antara faktor utama kejayaan program itu adalah kewujudan ekosistem lengkap melibatkan agensi kerajaan, komitmen peserta serta sokongan pembeli sedia ada yang memastikan hasil pertanian dapat dipasarkan secara konsisten.
Program IPR-INTAN telah memanfaatkan lebih 2,300 peserta dengan nilai hasil terkumpul mencecah RM22 juta menerusi hampir 60 projek di seluruh negara.
Peserta didedahkan dengan kemahiran dalam keseluruhan rantaian pertanian meliputi proses semaian, penanaman, penuaian hingga pemasaran hasil.
Bagi tahun ini, Kementerian Ekonomi bersetuju melaksanakan 20 projek baharu IPR-INTAN yang dijangka memberi manfaat kepada 600 peserta serta turut melibatkan peluasan projek di Putrajaya dengan penambahan 20 peserta baharu, sekali gus menjadikan keseluruhan seramai 40 peserta di lokasi tersebut. – UTUSAN








