PETALING JAYA: Portal-portal kerajaan perlu memperkemas pendekatan komunikasi dan strategi dalam melaporkan segala inisiatif serta dasar-dasar kerajaan sedia ada.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, komunikasi yang terancang, sistematik dan strategik sangat penting dalam menggerakkan agenda negara.
“Ramai juga yang bertanyakan perincian mengenai tindakan, kemajuan dan terkini mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan.
“Semalam diumumkan penubuhan Unit Pemantau Madani yang menjadi penggerak kepada Belanjawan Madani dan dasar-dasar berkaitan yang diumumkan. Satu usaha yang sangat dialu-alukan,” katanya dalam kenyataan.
Namun, kata Noor Azlan, terdapat dua lagi portal kerajaan iaitu Pacu dan Malaysiamadani yang turut menjadi penggerak utama prestasi dan komunikasi.
“Melayari dua portal ini, ia kelihatan tidak bermaya, tidak mempunyai fokus dan bercelaru. Amat perlu dibugarkan.
“Portal Pacu langsung hilang punca. Tak pasti apa sebenarnya nak dipacu dan prestasi yang nak dilaporkan. Portal Malaysiamadani juga berselerak. Ada belanjawan, ada rukun madani, ada majlis terkini, ada pencapaian Perdana Menteri. Macam-macam ada,” katanya.
Justeru, katanya, komunikasi dalam kerajaan mesti diperkemas dan berstrategik sifatnya.
“Apatah lagi di peringkat tertinggi negara. Rakyat, industri, perkhidmatan awam, masyarakat antarabangsa, semua ingin tahu dengan lebih terperinci gagasan Malaysia Madani dan inisiatif-inisiatif utama yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










