KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup keluar hasil laut termasuk daging kering penyu dengan nilai keseluruhan lebih RM4.5 juta berjaya ditumpaskan di perairan Kudat baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, rampasan itu dilakukan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) semasa Op Taring Gelora di perairan antara Pulau Banggi dan Pulau Bangsi pada 29 November lalu.
Beliau berkata, antara hasil laut yang dirampas termasuk 300 guni atau 9,000 kilogram daging kering penyu; 66 guni kulit kerang dan siput; gamat susu kering dan kuda laut kering serta rumpai laut kering.
Turut dirampas adalah gelembung ikan serta beberapa spesis lain termasuk sirip yu kering.
Beliau berkata, semasa anggota PPM menghampiri kapal berkenaan untuk tujuan pemeriksaan namun, kapal itu bertindak membelok dan memecut ke arah perairan cetek ke arah negara jiran.
“Kapal itu berjaya dikejar apabila terkandas di kawasan yang cetek namun, kesemua suspek bertindak terjun ke kawasan cetek berkenaan.
“Tidak lama kemudian, sebuah bot pam mengambil keempat-empat lelaki tersebut meloloskan diri ke perairan antarabangsa,” katanya.
“Semasa serbuan terhadap kapal itu dilakukan, empat suspek bertindak terjun daripada kapal berkenaan menuju ke kawasan batu karang kerana keadaan air ketika itu cetek.
“Namun, tidak lama selepas itu, empat lelaki berkenaan diambil oleh sebuah bot pam bagi meloloskan diri menuju ke perairan antarabangsa,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kapal yang ditinggalkan menemukan beberapa karung yang mengandungi pelbagai hidupan laut termasuk hidupan yang dilindungi. Kesemua hasil laut itu dipercayai untuk pasaran ASEAN.
Jauteh berkata, beliau percaya bahan-bahan itu tidak semestinya datang dari Sabah dan pihaknya mensyaki kesemua lelaki yang meloloskan diri itu adalah warga asing.
Usaha giat dilakukan bagi mengesan keempat-empat suspek. Kes ini dalam siasatan Jabatan Hidupan Liar dan PDRM akan membantu sekiranya diperlukan.- UTUSAN