PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor bersedia mempertahankan kerusi tunggalnya di Simpang Jeram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat berkata, selain mempertahankan kerusi berkenaan, parti itu turut memberi tumpuan kepada beberapa kawasan yang pernah dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) serta beberapa kerusi baharu yang dikenal pasti berpotensi.
Menurut beliau, perkembangan politik di Johor sebelum ini sudah memberi isyarat bahawa PRN akan diadakan sekali gus menyebabkan Amanah membuat persiapan awal di semua kawasan.
“Sebenarnya, petunjuk untuk pilihan raya di Johor ini sudah lama didengar. Disebabkan itu, Amanah telah memberi penekanan kepada seluruh kawasan untuk bersedia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada PRN Johor 2022, Amanah hanya memenangi satu kerusi di Simpang Jeram manakala 12 lagi kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Kerusi Simpang Jeram ketika ini disandang Nazri Abdul Rahman yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada September 2023 susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Baki 11 kerusi PH dimenangi DAP dengan 10 kerusi manakala PKR memperoleh satu kerusi.
Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, Amanah turut menyusun jentera parti dan memperkukuh kerjasama dengan parti komponen PH bagi memastikan persiapan menghadapi PRN berjalan lancar.
Beliau yang juga Bekas Speaker DUN Johor berkata, beberapa mesyuarat di peringkat PH Johor juga sudah diadakan sebelum ini bagi menyelaras gerak kerja pilihan raya termasuk persiapan jentera di peringkat kawasan.-UTUSAN.










