KANGAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang bermula hari ini sehingga 5 Jun dijangka menarik perhatian iaiti sama ada akan berlaku usul undi tidak percaya enam wakil rakyat Pas terhadap Menteri Besar atau kesediaan Abu Bakar Hamzah membubarkan DUN jika usul menjatuhkan beliau itu diteruskan.
Sebelum ini, Abu Bakar memberi peringatan membubarkan DUN jika Mohd. Shukri Ramli (Sanglang); Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri) tetap berkeras mengemukakan usul tersebut.
Bagaimanapun Mohd. Shukri yang juga bekas Menteri Besar difahamkan tidak dapat menghadiri sidang kali ini kerana berada di Mekah.
Komposisi DUN Perlis ketika ini menyaksikan lima wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), enam dari Pas, seorang dari Pakatan Harapan (PH) manakala tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas iaitu Guar Sanji, Bintong dan Chuping dikenakan tindakan pengguguran keahlian dengan kes kekosongan kerusi tersebut masih di peringkat mahkamah.
Sidang berkenaan bermula dengan majlis istiadat perbarisan kawalan kehormat dan perasmian penggal persidangan keempat DUN Perlis ke-15 oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebelum diteruskan dengan sesi persidangan yang diadakan selama tiga hari.
Beberapa wakil rakyat dari Bersatu dan Pas ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan memaklumkan tidak mengetahui sama ada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar itu akan berlaku atau sebaliknya.
Ada dalam kalangan mereka juga melihat usul tersebut sukar direalisasikan dengan Abu Bakar dijangka kekal sehingga tamat penggal.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, beliau yakin usul undi tidak percaya tidak dilakukan dengan mandat tersebut akan dipertahankan sehingga tamat penggal seperti mana diharapkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Katanya, jika ada cubaan sekali pun undi tidak percaya, beliau percaya tidak akan berjaya.
“Insya-Allah kalau buat sekali pun (undi tidak percaya) tidak akan berjaya. Kita berpaksi kepada undang-undang tubuh negeri dan itu kuncinya. Meskipun Speaker DUN mempunyai kuasa-kuasa tertentu tetapi ada juga yang di luar kuasanya untuk buat perkara-perkara seperti itu.
“Saya yakin dan percaya dengan mandat Raja Perlis untuk saya pertahankan tempoh pentadbiran sehingga habis penggal. Saya juga rujuk kepada undang-undang tubuh negeri dan tidak ada kuasa melebihi undang-undang itu.
“Walaupun peraturan dewan kita gariskan, tapi ia tidak boleh melangkaui peraturan undang-undang tubuh negeri. Maka saya yakin, undi tidak percaya kepada saya, sukar untuk dilakukan selain dari segi kekuatan juga seimbang.
“Titah Tuanku Raja Perlis semasa saya dilantik jadi Menteri Besar pada 28 Disember 2025 juga menjelaskan pelantikan saya adalah sebagai pelantikan daripada PN, bukan dari Bersatu atau Pas. Dengan titah tersebut, saya yakin usaha-usaha yang dilakukan itu akan terbantut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya lagi, sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim juga menegaskan tidak akan berlaku undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
Baru-baru ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan Bersatu tidak menghormati semangat setiakawan dalam gabungan PN termasuk dalam kemelut politik di Perlis.-UTUSAN.










