Polis patahkan sindiket penipuan pelaburan hartanah - Utusan Malaysia

Polis patahkan sindiket penipuan pelaburan hartanah

AHMAD Mohsin Md. Rodi (kanan) turut sama dalam serbuan ke atas sebuah syarikat sekitar kawasan Medan Pekan, Arau, Perlis yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan hartanah. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Polis berjaya mematahkan sindiket penipuan pelaburan hartanah menerusi serbuan ke atas sebuah syarikat sekitar kawasan Medan Pekan, di sini, hari ini.

Dalam serbuan pada pukul 9 pagi itu, seorang ejen syarikat berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes penipuan pelaburan hartanah terbabit.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, serbuan itu dibuat susulan penahanan tiga orang pengarah syarikat berkenaan menerusi dua operasi berasingan yang dilaksanakan semalam sekitar kawasan Arau.

“Tujuan penggeledahan dijalankan hari ini adalah bagi mendapatkan beberapa dokumen penting seperti fail pelanggan, dokumen perjanjian, resit bayaran dan peralatan komputer yang boleh membantu siasatan kes ini.

“Semua suspek yang ditahan adalah berusia 30-an hingga 50 dan dipercayai aktif memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa pelaburan disediakan oleh syarikat itu adalah benar,” katanya kepada pemberita selepas serbuan terbabit, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, serbuan dilaksanakan itu juga adalah rentetan daripada laporan polis diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kangar melibatkan seorang mangsa yang ditipu setelah menyertai pelaburan ditawarkan syarikat terbabit.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan seorang pekerja kilang berusia 31 tahun itu dipercayai terpedaya apabila ditawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan dividen tinggi.

“Setelah mangsa bersetuju untuk melabur, ejen akan meminta pelabur untuk memasukkan modal ke dalam akaun bank syarikat berkenaan dan menandatangani perjanjian pelaburan.

“Namun setelah diberikan keuntungan dividen untuk beberapa bulan pertama, mangsa kemudiannya tidak lagi menerima bayaran daripada syarikat tersebut dan merasakan dirinya ditipu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Mohsin berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati syarikat itu juga mempunyai enam cawangan di seluruh Malaysia namun hanya sebuah sahaja yang masih aktif beroperasi dan berpangkalan di Arau.

Katanya, bagi konteks Perlis, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes penipuan pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut dengan jumlah kerugian RM39,000.

“Menerusi serbuan di syarikat itu juga, polis turut merampas 1,255 fail maklumat berkaitan pelanggan dan kami percaya jumlah kerugian itu mungkin lebih tinggi.

“Hasil semakan juga mendapati syarikat itu tidak mendapat sebarang kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menjalankan aktiviti perniagaan berbentuk pelaburan di negara ini,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan buat masa ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya