Doktor ‘sombong’ salah isytihar kanak-kanak sudah meninggal dunia - Utusan Malaysia

Doktor ‘sombong’ salah isytihar kanak-kanak sudah meninggal dunia

SEORANG kanak-kanak lelaki dihantar ke Pusat Perubatan Mercy Gilbert. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHOENIX:: Seorang kanak-kanak lelaki di negeri Arizona ditemui masih hidup di dalam bilik mayat sebuah hospital hampir lima jam selepas seorang doktor tersilap mengisytiharkan mangsa telah meninggal dunia, lapor satu pendedahan satu saluran televisyen kelmarin.

Kanak-kanak berusia 18 bulan yang tidak didedahkan identitinya itu  ditemukan di dalam kolam renang milik keluarganya di Gilbert sekitar jam 5.30 petang waktu tempatan pada 8 Februari lalu, sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Mercy Gilbert.

Mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan. Bagaimanapun, lima setengah jam kemudian, kakitangan perubatan yang melangkah masuk ke dalam bilik mayat tergamam apabila mendapati kanak-kanak tersebut sebenarnya masih bernyawa.

Laporan awal menggambarkan insiden aneh itu sebagai satu keajaiban. Namun, laporan polis yang diperoleh saluran ABC15 mendedahkan bahawa situasi tersebut berpunca daripada ‘kesilapan kritikal’ oleh seorang doktor.

Siri rakaman kamera badan pihak polis yang dikaburkan turut memaparkan detik cemas ketika anggota polis dan paramedik tiba di rumah mangsa, sebelum memecut kenderaan bagi menghantarnya ke hospital pada hari kejadian.

Menurut laporan itu, seorang pegawai polis mengimbau kembali detik sebaik sahaja mereka tiba di hospital, di mana dia mendengar seorang jururawat berkata: “Saya mengesan denyutan nadi.” 

Pegawai terbabit kemudian segera memaklumkan perkara itu kepada doktor yang mengendalikan kes tersebut.

Bagaimanapun, laporan dokumen polis mendedahkan doktor lelaki yang tidak dinamakan itu seolah-olah memperlekehkan kebimbangan yang diutarakan.

“Doktor itu dengan angkuh memberitahu saya bahawa dia adalah seorang doktor, dia memiliki ijazah perubatan, menghadiri sekolah perubatan atas sebab tertentu dan meminta saya membiarkan dia melakukan tugasnya,” catat pegawai polis berkenaan dalam laporan tersebut.

Kanak-kanak tersebut ketika itu  disahkan meninggal dunia akibat ‘kesilapan’ doktor terbabit. Sebaik sahaja mangsa ditemukan masih hidup dan bernafas beberapa jam kemudian, dia segera diterbangkan ke Hospital Kanak-Kanak Phoenix untuk rawatan lanjut.

Menerusi laporan ABC15, keputusan ujian MRI menunjukkan mangsa mengalami kerosakan otak yang parah dan kini memerlukan penjagaan rapi sepanjang hayatnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN