Polis fokus kesan lokasi Zayn Rayyan dibunuh, guna Interpol

Polis fokus kesan lokasi Zayn Rayyan dibunuh, guna bantuan Interpol

ZAYN RAYYAN ABDUL MATIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Tumpuan siasatan polis membabitkan kes bunuh kanak-kanak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin kini adalah mengesan ‘prime crime scene’ atau tempat kejadian jenayah pertama di mana lokasinya dibunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tempat mayat kanak-kanak itu ditemukan pada 6 Disember lalu di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman adalah ‘second crime scene’ (tempat jenayah kedua).

“Kita (polis) biasanya kurang dapat keterangan fizikal yang boleh dikaitkan dengan penjenayah.

“Jadi dalam kes ini, pihak polis berhadapan cabaran untuk mengesan keterangan-keterangan sehingga tertangkapnya suspek atau mereka yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Mengulas lanjut, kata beliau, polis juga meminta bantuan Polis Antabangsa (Interpol) bagi melakukan semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperolehi hasil siasatan setakat ini.

“Kita ada minta bantuan daripada INTERPOL dalam ‘data base’ (pangkalan data) mereka kerana ada beberapa maklumat, walaupun bukan conclusive (muktamad) tetapi ada yang boleh membantu siasatan. 

“Kita pun ada maklumat (yang tidak boleh didedahkan) yang mereka boleh bantu semak dalam ‘data base’ mereka (Interpol),” jelasnya

Dalam pada itu, Hussein berkata, kes kematian kanak-kanak ini bukan kes yang ‘straight forward’ atau jelas dan mudah.

“Kita (polis) masih meneruskan siasatan dan polis masih berada di lokasi setiap hari.

“Keadaan kes ini menyukarkan pihak polis untuk mengetahui di mana ‘primary crime scene’ dengan lebih awal, ini cabaran yang dihadapi oleh pihak polis,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya menerusi pemeriksaan rumah ke rumah, pihaknya sudah merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu.

Daripada keseluruhan sampel itu, sebanyak 240 sampel sudah dianalisis dan lain-lain sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia kita sudah pun dapat keputusan.

“Walau bagaimanapun, tiada keputusan positif yang dapat membantu siasatan buat masa ini.

“Sejak siasatan dijalankan sejak 17 hari lalu, seramai 12 individu sudah ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk narkotik namun tiada kaitan dengan kes Zayn Rayyan,” jelasnya.

Hussein berkata, pihak polis tidak berputus asa dan masih meneruskan siasatan dan kita masih ada aktiviti setiap hari di kawasan tersebut dan di lain-lain kawasan yang pihak polis boleh bantu sehingga tertangkapnya suspek.

“Semakan pada semua rakaman ‘dashcam’ kenderaan dan CCTV (kamera litar tertutup) yang diperolehi, apa yang kita boleh katakan ialah kita mendapat ‘very minimal’ (sangat minimum) maklumat yang boleh bantu siasatan.

“Kita bersungguh-sungguh dalam siasatan ini namun pada ketika ini, kita masih mencari petunjuk positif” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×