PLSB: Bincang penduduk sebelum bina terowong air

PLSB: Bincang penduduk sebelum bina terowong air

KEADAAN benteng di Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kerajaan perlu melibatkan penduduk tempatan untuk turut sama memberikan pandangan sebelum melaksanakan projek pembinaan terowong air yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang Norhisham Abdullah berkata, langkah itu bagi memastikan pembinaan terowong tersebut berfungsi dengan baik sekali gus meredakan penderitaan yang dihadapi penduduk akibat musibah banjir tersebut.

“Ini kampung kami, dari segi bentuk muka bumi penduduk di sini lebih memahaminya. Melalui cara ini, kami dapat memberikan pandangan dan langkah terbaik yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Sejujurnya kami sudah penat untuk berdepan dengan banjir yang begitu buruk dan kerugian ribuan ringgit sejak projek ini berjalan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Norhisham memberitahu, penduduk tidak pernah menolak usaha kerajaan namun terkilan apabila tiada ruang untuk memberikan pandangan.

“Berilah ruang kepada penduduk untuk bersama-sama dalam menjayakan usaha ini.

“Saya yakin jika pandangan serta suara penduduk diambil kira masalah tersebut mampu diatasi dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Utusan Malaysia kelmarin, melaporkan, kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM6 juta bagi membaikpulih kerosakan bentang dan membina terowong air di Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang.

Perdana Menteri berkata, kerja-kerja membaik pulih benteng yang pecah itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta.

“Baki selebihnya daripada peruntukan itu akan digunakan bagi membina terowong air di dua lagi lokasi yang berbeza,” katanya.

Terdahulu, penduduk Rantau Panjang yang terkesan dengan banjir mendesak kerajaan mewujudkan lebih banyak terowong air di PLSB Su­ngai Golok di sini bagi mengatasi masalah banjir termenung setiap kali musim tengkujuh.

Dakwa penduduk, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa berlindung lebih lama di pusat pemindahan sementara (PPS) sekali gus mengundang rasa kurang selesa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN