Peruntukan RM22 juta bina baharu, baik pulih rumah - Utusan Malaysia

Peruntukan RM22 juta bina baharu, baik pulih rumah

ABDUL Kahar Abdul Latif (berdiri, dua dari kanan) beramah mesra dengan pengamal media Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM22 juta dalam program bina baharu dan baik pulih rumah untuk golongan miskin tegar di negeri itu pada tahun ini.

Pengarahnya, Abdul Kahar Abdul Latif berkata, peruntukan tersebut bertujuan memastikan semua kumpulan sasar itu berjaya memiliki kediaman yang selamat dan selesa serta dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.

Menurutnya, statistik terkini menunjukkan sebanyak 6,506 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan 24,740 KIR miskin telah didaftarkan dalam sistem e-Kasih di negeri Terengganu.

“Selain daripada melaksanakan program-program pembangunan fizikal, Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu turut menyelaras pelaksanaan program kesejahteraan rakyat bagi usaha menoktahkan kemiskinan di negeri ini.

“Kami juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif program UKasih, program peningkatan pendapatan, program kasih prihatin bersama beberapa rakan strategik yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis ramah mesra bersama Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) yang disertai lebih 70 pengamal media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Kahar berkata, kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang agak tinggi khusus untuk negeri Terengganu.

“Jika dilihat kepada unjuran peruntukan pembangunan bagi projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bermula daripada Rolling Plan Pertama (RP1) bagi tahun 2021 sehingga sekarang, jumlah peruntukan bagi negeri Terengganu semakin meningkat.

“Untuk makluman, pada tahun 2021 iaitu RP1 RMK12, sebanyak RM725.96 juta peruntukan telah diluluskan untuk 255 projek.

“Pada tahun 2022 iaitu RP2 RMK12, sebanyak RM1.37 bilion diluluskan bagi 365 projek manakala bagi tahun ini iaitu RP3 RMK12 pula, sebanyak RM1.39 bilion diluluskan yang melibatkan 407 projek,” katanya.

Tambahnya, Terengganu juga mencatat kedudukan keempat tertinggi di Malaysia mendahului negeri-negeri lain dari segi prestasi perbelanjaan iaitu RP3 RMK12, sebanyak RM1.19 bilion telah pun dibelanjakan daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.39 bilion bersamaan 85.49 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya