SAN FRANCISCO: Hari yang biasa bagi seorang pemancing berpengalaman di kawasan Bay Area bertukar menjadi detik sukar dipercayai apabila beliau terserempak dengan sebuah rumah dua tingkat bersaiz penuh yang sedang ‘ditarik’ sebuah bot merentasi laut Teluk San Pablo, San Francisco.
Zach Medinas, 57, yang sedang keluar memancing bersama anak kapalnya pada pagi Rabu meluahkan rasa terkejut apabila menyaksikan struktur kediaman berkenaan ditarik oleh sebuah bot rekreasi kecil.
“Saya nampak ia datang dan reaksi saya sama seperti orang lain, apa semua ini?” kata Medinas kepada akhbar San Francisco Chronicle.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan struktur bangunan dua tingkat berwarna kekuningan itu lengkap bersama anjung di tingkat atas diikat kemas pada sebuah bot sambil ditarik oleh bot bermotor berkenaan.
Rumah terapung itu dipercayai dalam pelayaran menuju ke Oakland.
Ketika kejadian, Medinas, seorang penduduk Concord yang memiliki perniagaan Gatecrasher Fishing Adventures, menghabiskan sebahagian besar waktunya di laut.
Beliau memberitahu bahawa beliau dan rakan-rakannya terdengar Pengawal Pantai AS mengeluarkan amaran radio kepada pelaut mengenai sebuah rumah yang sedang ditarik di sepanjang bahagian timur laut Teluk San Pablo.
Faktor angin kencang dan arus laut yang bergelora serta-merta membuatkan beliau meragui sama ada rumah berkenaan mampu membuat pelayaran tersebut dengan selamat.
Video yang dimuat naik beliau menarik perhatian ramai secara mendadak di media sosial dengan meraih hampir 140,000 tontonan di Instagram menjelang malam Jumaat, jauh melampaui kebiasaan perkongsian kandungan mengenai aktiviti memancing dan hidupan lautnya.
Beberapa pengguna media sosial turut bertanya sama ada tindakan menunda sebuah rumah merentasi teluk tersebut adalah sah di sisi undang-undang. – AGENSI











