KUALA LUMPUR: Keperluan tinggi dalam sektor pekerjaan terutama pembinaan dan perkhidmatan antara faktor Lembah Klang menjadi tumpuan warga asing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, permintaan yang tinggi untuk tenaga kerja dalam kalangan warga asing menyebabkan ramai majikan di ibu negara menggajikan golongan itu.
Menurut beliau, kebergantungan majikan kepada tenaga kerja warga asing juga antara faktor kehadiran ramai warga asing di ibu negara.
Bagaimanapun, katanya, pelbagai operasi telah dilakukan pihaknya namun kebanyakan mereka mempunyai dokumen yang sah.
“Isu di Kuala Lumpur ini ialah masyarakat melihat kehadiran ramai warga asing.
“Kita memang kerap mendapat aduan mengenai kebanjiran kelompok itu, namun bila buat pemeriksaan, kebanyakan mereka didapati mempunyai dokumen yang sah,” katanya di sini semalam.
Beliau turut menyangkal persepsi orang ramai yang mendakwa agensi berkaitan gagal melakukan penguatkuasaan mengenai isu kebanjiran warga asing di ibu negara.
“Persepsi rakyat bila nampak warga asing bermakna mereka adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mula mengatakan pihak berkuasa seperti Imigresen, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak buat kerja.
“Namun hakikatnya, warga asing yang kita lihat itu tidak semestinya PATI. Seperti baru-baru ini ini buat pemeriksaan di Puduraya, memang kita dapat tahan ramai (warga asing) tetapi kita lepaskan semula kerana mereka mempunyai dokumen dan pas kerja yang sah,” katanya.
Menurut Syamsul Badri, pihaknya memang memandang serius isu kebanjiran warga asing di ibu negara dan sentiasa menjalankan operasi berterusan untuk mengesan warga asing yang berada di negara ini secara haram.
Tegasnya, isu kebanjiran warga asing ini juga memerlukan kerjasama dua hala dengan masyarakat setempat.
“Bagi tujuan itu, kita sentiasa mengadakan operasi dan serbuan, malahan operasi secara bersepadu dengan agensi lain seperti DBKL dan polis, semua pihak akan saling bekerjasama dan bertukar-tukar maklumat,” ujarnya.
Menurutnya, ada juga pemilik rumah kedai yang menyewakan kediaman dengan mengubah suai sebagai bilik sewa.
“Ada pemillik premis kedai mengubah suai ruang atas kepada bilik-bilik sewa bersaiz kecil dan disewakan pula kepada warga asing, mengubah angka itu sehingga empat hingga lima kali ganda.
“Kita juga dapati satu bilik sewa yang saiznya kecil dihuni sehingga 15 orang warga asing. Sekiranya satu unit rumah mempunyai tiga bilik, berapa ramai yang boleh dimuatkan,” katanya. –UTUSAN










