Penduduk cuci sendiri longkang awam elak banjir

Penduduk cuci sendiri longkang awam elak banjir

MOKHTAR Dahari (kiri) bersama Husairi Hussain menunjukkan longkang besar dipenuhi tanah dan sampah sarap di Kampung Bakar Kapor, Sungai Petani, Kedah. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tidak tahan berdepan dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat, lebih 15 keluarga di Kampung Bakar Kapor, di sini mengambil inisiatif sendiri membersihkan longkang besar di di kampung itu yang didakwa menjadi punca utama kejadian berkenaan.

Longkang itu menjadi laluan utama air dari beberapa buah taman perumahan di sekeliling kampung itu antaranya Taman Orkid, Taman Mawar dan Taman Dahlia ke Sungai Petani sering tersumbat sejak lebih setahun lalu.

Seorang penduduk, Mokhtar Dahari, 51, berkata, dia dan beberapa rakan terpaksa membersihkan sendiri longkang besar itu yang sering dipenuhi tanah dan sampah sarap bagi mengelak air bertakung dan menyekat aliran air.

“Pihak bertanggungjawab seolah-olah lepas tangan apabila beberapa kali aduan dibuat berkaitan perkara berkenaan namun sehingga kini tiada tindakan diambil,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bagi Siti Hajar Hussain, 44, anak sungai berdekatan rumahnya yang menjadi laluan air daripada longkang besar itu sepatutnya dikorek lebih dalam dan diperbesar agar dapat menampung kapasiti air yang banyak terutamanya ketika hujan lebat.

“Taman perumahan di sekeliling kampung kami tumbuh bagai cendawan dan longkang besar inilah yang menjadi punca kejadian banjir kilat berikutan tidak selalu diselenggara oleh pihak berkuasa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Husairi Hussain, 53, berkata, dalam banjir kilat terbaru pada awal bulan lalu, banyak rumah dimasuki air hingga menyebabkan sebahagian besar perabot dan barangan rumah mereka rosak akibat terendam.

Sehubungan itu mereka berharap pihak berkuasa prihatin dengan masalah banjir kilat yang dihadapi mereka dan meminta agar longkang berkenaan kerap diselenggara bagi mengelak kejadian sama terus berulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN