11 pegawai Imigresen ditahan SPRM `direhatkan’ daripada bertugas - Utusan Malaysia

11 pegawai Imigresen ditahan SPRM `direhatkan’ daripada bertugas

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) `merehatkan’ 11 pegawainya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pegawai terbabit tidak lagi terlibat dalam sebarang urusan rasmi atau aktiviti yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.

“Kes berkenaan melibatkan tangkapan yang dibuat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Kita akan menunggu pihak SPRM menyelesaikan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jalinan Strategik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama media di sini hari ini.

Beliau menegaskan, JIM tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku melibatkan pegawainya.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat sama ada pegawai kanan atau pegawai bawahan. Jika mereka didapati melakukan kesalahan, tindakan yang sama akan diambil,” katanya.

Menurut Zakaria, pihaknya akan terus bekerjasama dengan SPRM serta agensi penguat kuasa lain dalam usaha memperkukuhkan ketelusan dan integriti dalam JIM.

“Kita memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu memperkukuhkan integriti penguatkuasaan, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan serta memperkasakan integriti pegawai,” katanya.

Zakaria memaklumkan, sejak 2023 hingga tahun ini, seramai 834 pegawai imigresen telah dikenakan pelbagai tindakan tatatertib dan hukuman.

“Daripada jumlah itu seramai 69 daripada mereka telah dibuang kerja, ia satu jumlah yang besar,” katanya.

Beliau berkata, bagi tahun ini, seramai 81 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib dan daripada jumlah itu, 14 pegawai telah dibuang kerja.

“Ini menunjukkan kesungguhan kita dalam menangani isu integriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan imigresen,” katanya.

Semalam, media melaporkan SPRM menahan reman 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen.

Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan termasuk membenarkan warga asing berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.

Tindakan itu susulan operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM negeri menerusi Op Layer di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka.

Di Putrajaya, Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 13 Julai ini terhadap enam suspek bagi membantu siasatan.

Di Shah Alam pula, Mahkamah Majistret membenarkan kesemua 14 suspek direman selama empat hari sehingga 12 Julai bermula hari ini.

Sementara itu, di Seremban, mahkamah mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap lima suspek, lima hari terhadap dua lagi suspek manakala dua individu lain direman sehari bagi membantu siasatan.

Di Melaka, empat suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Julai selepas perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Kesemua suspek terdiri daripada 25 lelaki dan lapan wanita berusia antara lingkungan 20 hingga 50-an yang ditahan antara pukul 10 pagi hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN