10 kereta mewah, barang kemas disita SPRM - Utusan Malaysia

10 kereta mewah, barang kemas disita SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 10 kereta mewah, tiga motosikal, wang tunai hampir RM400,000 serta pelbagai barang kemas disita dalam siasatan sindiket melindungi warga asing dipercayai melibatkan pegawai penguat kuasa dan penjawat awam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membekukan 14 akaun bank milik syarikat dan individu dengan baki keseluruhan dianggarkan RM1.1 juta.

Sumber berkata, akaun berkenaan terdiri daripada lima akaun syarikat dan sembilan akaun individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

Katanya, antara aset disita ialah 10 kereta mewah dan tiga motosikal dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

“Turut disita wang tunai RM393,150 dan mata wang Indonesia berjumlah 18 juta rupiah atau kira-kira RM4,050.

“Selain itu, sebanyak 14 keping emas seberat satu gram setiap satu serta 80 barang kemas termasuk gelang tangan dan cincin turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, nilai emas berkenaan dianggarkan RM8,300, manakala pelbagai barang kemas itu bernilai kira-kira RM118,500.

SPRM turut menyita tiga jam tangan bernilai RM42,200, sebuah beg tangan mewah bernilai RM9,000 dan 17 telefon bimbit dianggarkan berharga RM48,000.

“Sehingga hari ini, sembilan kertas siasatan telah dibuka susulan operasi bersepadu yang dijalankan di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, Rabu lalu,” katanya.

Operasi menerusi Op Layer, Op Dalang, Op Raider dan Op Genuine itu menyaksikan 38 individu ditahan, manakala 33 daripada mereka direman bagi membantu siasatan.

Mereka terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

Kesalahan itu termasuk melindungi warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.

Seorang lagi pegawai penguat kuasa ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN