MELAKA: Seorang lelaki disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga merempuh sebuah kereta peronda polis (MPV) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), awal pagi semalam, direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman sehingga 13 Julai itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan. Suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Johor ditahan sejurus kejadian semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi semalam, lelaki yang bekerja sebagai pekerja swasta dipercayai memandu sebuah Perodua Axia sebelum melanggar MPV polis di Lebuh AMJ berhampiran jejambat Semabok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat dilaporkan berkata, ketika kejadian anggota polis sedang menjalankan rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Kandang dan Balai Polis Tiang Dua.
Menurut beliau, MPV berkenaan berhenti di bahu jalan bagi memeriksa sebuah kenderaan lain, dengan lampu beacon dan lampu kecemasan dipasang sebelum dirempuh di bahagian sisi kanan oleh kereta dipandu suspek yang datang dari arah belakang.
“Hasil ujian saringan pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam badan suspek melebihi had yang ditetapkan, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif terhadap penyalahgunaan dadah,” katanya. – UTUSAN










