Pelajar tingkatan dua dapat ugutan rogol daripada rakan sebaya - Utusan Malaysia

Pelajar tingkatan dua dapat ugutan rogol daripada rakan sebaya

Pelajar rogol
PELAJAR tingkatan dua sebuah sekolah di Shah Alam mendakwa diugut rogol oleh rakan sebayanya. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan dua mendakwa menerima ugutan rogol daripada remaja sebayanya selepas dipercayai diganggu ketika duduk bersama rakan-rakannya di sebuah sekolah, di sini, pada Jumaat lalu.

Pelajar perempuan tersebut dikatakan menerima ugutan sedemikian daripada remaja lelaki terbabit selepas menegurnya apabila memandang pada bahagian bawah tubuh badannya.

Bagaimanapun, keadaan bertambah serius apabila pelajar perempuan berusia 14 tahun itu hendak mengadu pada guru sekolah menyebabkan dia dikatakan diserang secara fizikal apabila dipukul pada bahagian atas dada.

Pelajar lelaki itu dikatakan turut menggoncang kepala mangsa selain merentap tudungnya sehingga koyak dan menampakkan bahagian lehernya.

Insiden tersebut diceritakan bapa mangsa sendiri menerusi hantarannya dalam Facebook yang menyedari tudung anaknya koyak ketika hendak mengambilnya pulang dari sekolah.

Menurutnya, ketika berada di luar kawasan sekolah dia menjerit nama pelajar terbabit yang melarikan diri selepas mendengarnya dan insiden tersebut turut disedari sebilangan guru yang berada tidak jauh.

Bagaimanapun, dia tidak berpuas hati apabila terdapat guru yang cuba meredakan situasi dengan mengatakan pelajar lelaki terbabit menghidap autisme dan kerap kali membuat gangguan berunsur seksual terhadap rakan-rakannya.

“Ada cikgu-cikgu di situ cakap budak (pelajar) itu memang banyak kali buat (gangguan) macam ni. Sudah banyak laporan. Bila berdepan dengan cikgu-cikgu, depa (mereka) pun buka cerita yang budak tu autistik. 

“Dengan mimik muka cikgu yang seolah saya dan anak saya buat satu kesalahan besar bila hendak kejar dan mengadu hal ni. ‘Encik tahu tak dia autistik’? Saya tanya balik, kalau dia autistik, bebas untuk buat kekasaran tanpa tindakan? Dia bebas untuk buat serangan seksual tanpa tindakan? Hendak tunggu something nasty berlaku nanti baru hendak ambil tindakan?,” katanya dalam hantaran tular itu.

Tambahnya dalam hantaran sama, dia mengatakan ibu bapa pelajar berkenaan sepatutnya dilibatkan bagi menangani masalah sedemikian.

“Bila sudah berlaku, terhadap anak saya pula, hendak saya berdiam diri? Tunggu sampai betul terjadi baru bertindak. Minta maaf, saya bukan begitu. Libatkanlah ibu bapa dia kalau anak dia tak boleh dipertanggungjawabkan,” tegasnya.

Bapa remaja perempuan berkenaan kemudian bertindak membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan reaksi diterima daripada guru-guru sekolah berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.02 petang dan membuat tangkapan terhadap suspek hari ini.

“Mangsa dalam kes ini yang merupakan seorang pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah kerajaan menerima ugutan rogol dan dipukul pada bahagian dada oleh seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang dikenali daripada sekolah yang sama,” jelasnya.

Katanya lagi, pengadu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi kecederaan yang dialaminya. Kes disiasat di bawah seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Dalam pada itu, Mohd. Iqbal menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan polis. Mana-mana individu mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mira Noraien ditalian 011-11430765. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya