Parlimen Gua Musang kekal milik Mohd. Azizi

Parlimen Gua Musang kekal milik Mohd. Azizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Parlimen Gua Musang kekal milik calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd. Azizi Abu Naim yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan rayuan seorang pengundi Barisan Nasional (BN).

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara membatalkan rayuan Mohd. Azmi Mahmood yang memfailkan petisyen pilihan raya mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dengan keputusan itu, Mohd. Azmi gagal mengembalikan petisyen itu ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mencabar kemenangan Mohd. Azizi.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abu Bakar Jais berpuas hati terdapat merit dalam bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam Mohd. Yusfarizal Yussoff yang mewakili Mohd. Azizi.

Panel itu memerintahkan kos RM30,000 dibayar kepada calon PN itu. 

Pada prosiding itu, peguam Datuk Mohamad Zubairy Hussain yang mewakili Mohd. Azmi berhujah, anak guamnya wajar dibenarkan merayu atas alasan beliau tidak memecat pasukan peguam yang mewakilinya ketika di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Hujah beliau, tindakan hakim pilihan raya membatalkan petisyen itu dilakukan dengan cara yang tidak betul dan mewajarkan ia dikembalikan untuk dibicarakan di Kota Bharu.

Terdahulu, Mohd. Yusfarizal bersama peguam Mohd. Faizi Che Abu mengemukakan bantahan awal atas alasan pengundi BN itu tidak boleh merayu terhadap petisyen yang telah dibatalkan.

Pada 5 September lalu, pengundi BN itu gagal mencabar kemenangan Mohd. Azizi selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen yang difailkannya.

Hakim Datuk Amarjeet Singh yang bertindak selaku hakim pilihan raya memutuskan demikian selepas Mohd. Azmi memecat pasukan peguam daripada dua firma guaman yang mewakilinya termasuk Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun.

Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila tewas kepada Mohd. Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN