Orang kanan harus fahami politik setempat-Pas Sabah

Orang kanan Perdana Menteri harus fahami politik setempat-Pas Sabah

ALIAKBAR GULASAN dan SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tindakan orang kanan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang cuba mengalih perhatian rakyat Sabah daripada isu asal dengan mendesak Pesuruhjaya Pas Sabah meletak jawatan disifatkan sebagai politik yang tidak matang.

Perbuatan menghentam Pas di Sabah yang menjadi salah sebuah parti yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor seolah-olah cuba menimbulkan isu kebencian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, politik Sabah agak unik berbanding Semenanjung. Jika dilihat di Sabah, Pas adalah sebahagian daripada kerajaan yang memerintah jadi, tindakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menghentam Pas dalam program kebudayaan yang dihadiri pelajar-pelajar universiti adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Kita di Sabah hidup dalam keadaan aman tidak kira sama ada parti Pas, DAP mahupun PKR, kita berada sama-sama dalam kerajaan, Jadi, kenapa mesti menimbulkan isu benci-membenci dalam kalangan kita di Sabah.

“Itu isu asalnya. Jadi, saya menyatakan rasa tidak puas hati apabila tiba-tiba dia (Shamsul) mengkritik Pas di Sabah. Kita berada dalam keadaan aman-harmoni dan dia cuba mengganggu keharmonian kita.

“Dia seharusnya lebih sensitif dan memahami politik setempat apabila berkunjung ke Sabah,” katanya.

Menurut beliau, apabila berkunjung ke Sabah, pemimpin mahupun orang-orang kanan Perdana Menteri perlu memahami politik setempat kerana dikhuatiri ia boleh menimbulkan polemik.

Aliakbar berkata, ucapan Shamsul dalam program kebudayaan sepatutnya tiada unsur-unsur politik, itu isu asalnya. Tiada keperluan untuknya meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik seperti didesak oleh Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Jamal Nerubi.

“Dia (Shamsul) mengkritik parti saya jadi, dalam suasana yang sebahagian yang hadir adalah pelajar universiti, program kebudayaan sepatutnya tiada unsur politik atau unsur benci membenci antara satu sama lain.

“Itu isu asalnya jadi tiada kaitan Jamal meminta saya meletak jawatan, saya rasa itu politik yang sangat tidak matang. Dia sudah lari daripada isu asal yang menyentuh sensitiviti orang Sabah.

“Apabila Shamsul berucap di Keningau mengkritik Pas seolah-olah dia kritik komponen parti yang berada di Sabah. Di Semenanjung, dia boleh menghentam Pas kerana di sana mereka saling bertengkar tapi di Sabah, kita sebahagian daripada parti yang mendukung kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, semasa UMNO dan Warisan cuba menjatuhkan Hajiji, Aliakbar antara salah seorang daripada 44 ADUN yang mempertahankan Hajiji.

“Kita mahu tengok kerajaan kita di Sabah tenang sampai habis penggal. Jadi, apabila ada pihak cuba buat kenyataan yang mengancam Pas di Sabah, itu sangat tidak patut,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Jamal menyatakan Aliakbar seharusnya cermin diri dan meletak jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan pandangan rakyat terhadap kerajaan perpaduan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN