GUA MUSANG: Lebih 3,000 masyarakat Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini menyifatkan air yang melimpah masuk ke kawasan penempatan mereka sebagai bencana terburuk selepas banjir 2014 lalu.
Seorang penduduk, Eddry Charlie, 38, berkata, peningkatan paras air kali ini berlaku dengan begitu cepat sehingga menenggelamkan jambatan besi yang menghubungkan laluan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis termasuk kawasan sekitar.
Menurutnya, situasi itu sama seperti banjir besar sembilan tahun lalu apabila penduduk kampung pedalaman juga terkandas selepas jalan perhubungan rosak dan berlaku tanah runtuh.
“Hujan berterusan dari pagi hingga malam. Air sangat laju dan deras melimpahi jambatan besi dalam masa setengah jam sahaja.
“Perasaan kita sangat risau kerana kami masih trauma dengan bencana banjir tahun 2014 apabila rumah kami tenggelam oleh air banjir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Roma Manan, 37, dari Kampung Jenut berkata, dia bersama penduduk lain sudah memindahkan dan menyimpan barangan ke kawasan tinggi.
Katanya, masyarakat Orang Asli sudah ramai berpindah ke atas bangsal yang dibina di atas bukit.
“Kami membina bangsal ini kerana tahu pasti ada penduduk yang tidak sempat ke PPS.
“Banjir kali ini seperti tahun 2014 yang lalu apabila air sungai naik dengan cepat sehingga menjejaskan jalan perhubungan dan tanaman kami,” ujarnya. – UTUSAN










