MyCARE, Econsave anjur program aqiqah di kem pelarian Syria

MyCARE, Econsave anjur program aqiqah di kem pelarian Syria, Yaman

MOHD. Zin (kanan) dan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam (tengah) melapah daging dalam program aqiqah di kem pelarian di Azaz, utara Syria menerusi program misi kemanusiaan pada Julai 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan pasar raya Econsave akan melaksanakan program aqiqah di kem pelarian di Syria dan Yaman, bulan ini.

Penasihat MyCare Johor, Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, penyertaan program aqiqah tersebut dibuka kepada mana-mana pihak yang mahu berkongsi rezeki dengan saudara Islam yang ditimpa nasib malang di luar negara.

“Kami mengajak orang ramai untuk turut bersama sempena program ini, kita buka peluang kepada rakyat Malaysia yang mahu melakukan ibadah aqiqah di kem pelarian Syria dan Yaman.

“Program ini akan dilaksanakan menerusi Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave pada 18 sehingga 30 Disember ini, dua negara Islam itu ketika ini dilanda kemiskinan dan ketidakstabilan ekonomi,” katanya.

Mohd. Zin yang juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE turut memberitahu, kos untuk melakukan aqiqah tersebut adalah RM1,400 bagi seekor kambing termasuk memasak di Syria, manakala RM670 untuk seekor kambing di Yaman.

“Selain, orang ramai juga boleh memberi sumbangan baju sejuk dan selimut untuk pelarian yang tinggal di kedua-dua negara, kerana mereka berdepan musim sejuk bulan ini.

“Ratusan ribu pelarian terkesan dengan musim sejuk yang melanda. Mereka memerlukan baju sejuk dan selimut. Setiap satu baju sejuk berharga AS$25 atau RM125. Pihak MyCARE dan Econsave akan menyampaikan bantuan ini menerusi misi kemanusiaan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya juga sedang mengumpul dana bagi membeli khemah baharu dengan harga AS$250 atau RM1,250 seunit untuk membantu 100 keluarga pelarian di kem pelarian Yaman.

“Mereka sudah lebih lapan tahun tinggal di khemah diperbuat daripada kanvas, tetapi kain yang ada telah banyak koyak, jadi kami beri peluang orang ramai berinfaq untuk pembelian khemah mereka.

“Manakala bagi pelarian yang telah menetap lebih daripada 10 tahun di kem berkenaan, NGO tempatan di sana sudah mula mengumpul dana untuk membina rumah bersaiz sederhana dengan harga AS$3,000 atau RM14,000 seunit. MyCARE akan menaja 20 buah rumah menerusi Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave kali ini.

“Begitu juga sebuah sekolah di kem pelarian di Yaman. Ini susulan sebuah sekolah yang sudah dimulakan pembinaan dengan kos RM1 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi misi kemanusiaan MyCARE pada Julai 2022. Orang ramai boleh terus membantu dengan keperluan program kembali ke sekolah dengan tajaan RM200 bagi setiap pelajar,” katanya lanjut.

Oleh itu, orang ramai yang ingin berinfaq boleh berbuat demikian menerusi akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad menerusi akaun Maybank Islamic Berhad 5515 7500 4299 dan hantar slip tajaan ke WhatsApp +6018-9677215; +6019-7342539 atau +6019-7458517.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya