Masalah pekebun kecil jejas pengeluaran sawit negara

Masalah pekebun kecil jejas pengeluaran sawit negara

Johari Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masalah pekebun kecil dan buruh menjadi punca kepada penurunan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) sehingga mewujudkan jurang yang ketara dengan Indonesia dalam industri komoditi.

Menyuarakan kebimbangan itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, situasi itu memerlukan tindakan segera kerajaan, jika tidak, kekurangan produktiviti dalam kalangan pekebun kecil boleh memberi kesan besar terhadap negara.

Katanya, ia memandangkan sejumlah 27 peratus daripada 5.6 juta hektar ladang sawit di negara ini diusahakan sendiri oleh pekebun kecil.

“Pekebun-pekebun kecil perlu diberi perhatian dan disediakan pelbagai jenis bantuan bagi memastikan produktiviti mereka melibatkan industri komoditi terus meningkat.

“Perhatian yang perlu diberi termasuk bantuan geran dan pinjaman untuk mereka melaksanakan tanaman semula dan memastikan ekosistem yang menyokong produktiviti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Naratif Khas bertajuk Mengoptimum Hasil Agrikomoditi Negara yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen kerajaan, malam semalam.

Pengeluaran minyak sawit

Johari berkata, pada 2023, pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia tidak meningkat menyaksikan ia kurang daripada 18 juta tan metrik berbanding sedekad lalu (2013) ketika negara menghasilkan 19 juta tan metrik.

Kata beliau, Indonesia keadaannya malah lebih baik apabila pengeluaran minyak sawit mentah mencapai 45 juta tan metrik pada tahun ini, sedangkan pada 2013 republik itu hanya mencapai dua juta tan metrik.

“Saya bimbang jika komoditi ini tidak ditangani dengan betul, ia menjadi seperti industri getah,” katanya.

Selain itu, katanya, Vietnam yang kini bertindak sebagai pengeksport getah asli ketiga terbesar di dunia menghasilkan lebih satu juta tan metrik tahun lalu,manakala Malaysia hanya mencecah 470,000 tan metrik, sedangkan negara ini juga pernah menjadi pengeluar getah asli terbesar pada 1970.

Import komoditi

Disebabkan penurunan hasil berkenaan, katanya, beberapa komoditi terpaksa diimport untuk memenuhi keperluan syarikat tempatan seperti getah asli bagi pembuatan sarung tangan dan koko untuk pembuatan coklat.

“Dahulu, kita boleh hasilkan koko sebanyak 225,000 tan metrik tapi hari ini, hanya 500 tan metrik sahaja. Jadi, kita terpaksa import koko dan memprosesnya. Jika kita import bahan mentah dan menghasilkannya di sini, margin kita kecil sebab kita tidak lagi memproses apa yang kita hasilkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, dasar mengenai komoditi perlu konsisten dan tidak boleh berubah jika mahu menunjukkan hasil yang baik untuk jangka masa panjang, terutama jika berlaku pertukaran menteri atau kerajaan.

“Ini bukan sekadar retorik lagi. Jika lihat perancangan, memang sempurna di atas kertas tapi bila berurusan dengan sektor swasta, kita perlu bantu mereka kerana lebih banyak pendapatan mereka, lebih baik untuk negara dari segi kutipan cukai, peluang pekerjaan dan ekonomi yang berkembang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kementerian perlu dan akan melakukan lebih banyak sesi libat urus dengan sektor swasta dalam usaha meningkatkan produktiviti komoditi negara.

Menurutnya, ia berikutan unjurannya dilihat semakin menguncup yang menuntut kerajaan mengambil pendekatan lebih efisyen bagi meningkatkan produktiviti komoditi.

Jelasnya, beberapa komoditi yang sebelum ini menunjukkan prestasi pengeluaran baik namun tidak berkembang seiring peredaran masa.

“Sebenarnya, kementerian ini perlu pergi ke luar dan buat banyak libat urus dengan sektor swasta. Mana-mana syarikat swasta yang terlibat dalam komoditi, kita perlu tengok bagaiman industri ini boleh kita pertahan atau mengembangkannya.

“Bagi syarikat yang sudah ‘senja’, kita lihat bagaimana kita boleh tukar model perniagaannya. Kita perlu mempunyai teknologi yang betul dan memberikan keberkesanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN